Pages

Friday, March 28, 2014

BUDAK DERITA KANSER PROSTAT




Maran - Seorang murid Darjah Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 5 terpaksa melupakan zaman persekolahan untuk satu tempoh yang belum diketahui selepas disahkan menghidap kanser prostat sejak September tahun lalu.

Anak kelima daripada enam beradik itu, Mohd Zahiruddin Mustafa, 12, kini hanya mampu terlantar selepas sel kanser merebak ke saraf tulang belakang dan bahu.

Bapanya, Mustafa Othman, 70, kanser tersebut dikesan selepas mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) sebelum Ramadan dan anaknya juga meraikan Aidilfitri tahun lalu di hospital berkenaan.

Menurutnya, Mohd Zahiruddin menjalani pembedahan membuang saluran kencing dan najis pada 31 Januari lalu selepas sembilan kali mengikuti kimoterapi.

“Saya sendiri tidak menyangka dia menghidap kanser prostat pada usia yang sangat muda.

“Pada mulanya, dia mengadu sakit ketika mahu buang air kecil sehingga mengambil masa antara dua hingga tiga jam dalam bilik air untuk habiskan kencing.

“Kadangkala sampai menangis menahan sakit dan meneran bagi mengeluarkan semua air kencing,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin di rumahnya di Felda Jengka 4, di sini.

Ibu kanak-kanak itu, Rokiah A Rahman, 48, terpaksa berhenti daripada mengajar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jengka 5 bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Mohd Zahiruddin.

Rokiah berkata, tiada lagi rawatan yang ditawarkan pihak hospital kecuali pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur mengikut jadual ditetapkan dan terdekat pada bulan depan.

Menurutnya, Mohd Zahiruddin kini bergantung kepada ubat penahan sakit dan telefon bimbit menjadi peneman sepanjang masa.

“Dia memang rindu sangat nak kembali ke sekolah tetapi apakan daya, mahu duduk atas kerusi roda pun tidak berdaya.

“Setiap satu beg najis ini paling lama bertahan empat hari dan ia hanya dijual di hospital tertentu selain tiada ubat-ubatan tambahan yang dicadangkan pihak hospital,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor