Kuala Lumpur - "Sungguhpun bapa seorang yang tegas, tetapi amat penyayang dengan anak-anak malah amat rapat dengan semua cucunya," kata Ramliza, anak sulung Allahyarham Datuk Alias Ali.
Ramliza, 49, Pengarah Urusan, Optimum Resources Sdn Bhd berkata, beliau pulang bercuti dari London sejak tiga minggu lepas dan berkesempatan menjaga bapanya sebelum meninggal dunia.
Menurut beliau, bapanya suka mengajar cucunya bermain golf serta tidak lokek dari segi kasih sayang dan harta benda.
Alias, 75, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama meninggal dunia kira-kira 9 pagi semalam kerana penyakit kanser usus yang dihidapinya sejak 2010.
Anak bongsu Allahyarham, Razlan, 34, berkata bapanya menghidap kanser usus dan hati sejak empat tahun lalu.
"Allahyarham sudah menjalani kimeotrapi sebanyak enam kali sebelum ini..kali terakhir arwah keluar dari Hospital KPJ, Ampang Puteri pada 15 Februari lepas," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah bapanya di Tanah Perkuburan Kampung Kemensah di sini, semalam.
Antara yang hadir di upacara pengebumian tersebut ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Editor Media Prima, Datuk Manja Ismail, bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Presiden Persatuan Kembara Malaysia Datuk Khalid Yunus.
Manja berkata keluarganya mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham sejak beliau mula menceburi bidang politik.
"Allahyarham selalu melawat arwah bapa saya ketika sakit dahulu...malah arwah juga memberi dorongan dan inspirasi kepada saya untuk menjadi wartawan," katanya.
Azman pula berkata Alias merupakan seorang yang amat berdedikasi dalam profesion kewartawanan dan pernah bertugas sebagai Ketua Penyunting Bernama sebelum menceburi politik pada 1978.
"Allahyarham juga seorang penulis novel dan saya belajar ilmu kewartawanan darinya...walaupun sudah lama meninggalkan Bernama tetapi kami tidak putus hubungan dengannya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor