Pages

Monday, January 13, 2014

TIDAK ADIL SALAHKAN KERAJAAN - NAJIB RAZAK


KEMAMAN - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata adalah tidak adil menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku kenaikan harga barangan.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana kerajaan telah dan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara bagi memastikan rakyat sentiasa menikmati kehidupan lebih baik.

Beliau memberitahu, banyak faktor yang mendorong ke arah kenaikan harga barang dan kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan dengan pelbagai cara dan pendekatan untuk mengurangkan beban rakyat.

"Kerajaan sentiasa bersama rakyat. Janganlah dipersalahkan kerajaan kalau harga barang naik, dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pula dimomokkan sebagai 'Barang Naik'," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mangsa Banjir Peringkat Kebangsaan dan Meraikan Sukarelawan Peringkat Negeri di Padang Astaka Chukai di sini hari ini.

Najib memberitahu, banyak faktor menyebabkan harga barangan meningkat kerana pelbagai sebab dan faktor termasuk keadaan semasa, ekonomi dunia dan fenomena cuaca melampau yang menjejaskan bekalan.

"Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang. Masa harga turun, tak pula puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji," ujar beliau.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat dan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

"Kerajaan lakukan transformasi untuk ekonomi negara, dah hasilnya nanti akan dipulangkan semula kepada rakyat," jelas beliau.

1 comment:

  1. Memanglah dari satu sudut..tidak adil untuk menyalahkan pihak kerajaan semata-mata...tapi dari sudut yang lain pula bertambah -tambah tidak adl juga kepada para pengundi dan penyokong kerajaan yang meletakkan kerajaan ini di Putrajaya...dengan harapan menggunung agar kerajaan yang di pilih dapat melindungi dan menambah baik apa yang ada kearah yang lebih baik dan sejahtera.Kalau itupun salah pada pihak kerajaan....tak tahu lagilah nak cakap apa...

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor