Pages

Tuesday, January 21, 2014

DAP ANTI GIATMARA




KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hari ini menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa pusat GiatMara adalah tempat melatih belia untuk menyokong UMNO.

Sebaliknya, beliau menegaskan GiatMara merupakan institusi latihan kemahiran bertujuan melatih rakyat Malaysia yang berhak mendapatkan masa depan yang lebih baik.

Malah, katanya, kebanyakan pelatih yang lahir dari GiatMara di seluruh negara kembali memberi sumbangan kepada ekonomi di negeri-negeri berkenaan termasuk di bawah pentadbiran pembangkang.

"Itu (dakwaan) tidak benar. Mana ada kita latih orang menyokong UMNO, tidak ada bendera UMNO, tidak ada manifesto UMNO pun.

"Yang kita latih ialah rakyat Malaysia yang berhak seperti mana kita tubuh universiti, kita wujudkan sekolah rendah dan menengah. Dasar persekutuan mengenai pendidikan tidak pernah berorentasikan politik. Tidak ada pendekatan seperti itu," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat 2014 GiatMara di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kira-kira 300,000 pelatih berjaya dilahirkan GiatMara dalam pelbagai bidang kemahiran selaras dengan keperluan industri masa kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 62,300 pelatih melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah, sebanyak 8,000 terlibat dalam bidang keusahawanan dan selebihnya menyertai perkhidmatan lain dalam sektor kerajaan dan swasta.

Selain melihat secara mendalam keperluan industri, katanya, GiatMara juga berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan swasta bertujuan diselaraskan bidang kemahiran dengan keperluan industri.

Mengenai isu penutupan GiatMara di Selangor, Mohd. Shafie berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan sedang meneliti aspek perundangan sebelum tindakan sewajarnya diambil dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor