Pages

Thursday, December 12, 2013

JALAN MENDAP POS PANTOS

KUALA LIPIS - Sebanyak 1,500 Orang Asli di Kampung Pantos dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Hulu Jelai dekat sini hampir terputus hubungan berikutan masalah mendapan dan kerosakan jalan raya antara Kuala Medang ke Pos Pantos, kelmarin.

Kejadian itu berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan berlakunya hakisan di laluan tersebut.

Berikutan mendapan itu, penduduk Orang Asli etnik Semai kini sukar keluar ke pekan Sungai Koyan dan bandar Kuala Lipis kecuali menggunakan laluan alternatif di ladang sawit berdekatan.

Ketua PPK Pos Pantos, Ahmad Zubair, 46, berkata, mendapan tanah kini semakin besar dan dikhuatiri boleh mengakibatkan runtuhan lebih serius sekali gus mengundang risiko keselamatan.

"Kawasan jalan yang berturap terus mendap kerana cerun dihakis oleh air hujan dengan cepat dan tanah mulai runtuh menyebabkan laluan ini tidak boleh digunakan oleh kenderaan," katanya.

Menurutnya, usaha membaik pulih jalan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan penduduk Orang Asli sering berulang alik ke tempat kerja dan berbelanja di bandar berdekatan khususnya untuk membuat persiapan persekolahan tidak lama lagi.

Seorang penduduk Pos Pantos, Shahrim Abdullah, 36, berkata, mendapan di kawasan jalan itu agak besar dan dikesan pada pukul 6.30 petang kelmarin.

"Mendapan ini membabitkan jarak sepanjang 50 meter manakala terdapat kawasan yang berlaku mendapan sedalam 10 meter.

"Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan laluan di ladang sawit berdekatan tetapi menghadapi kesukaran kerana mengharungi jalan berlumpur dan licin sebelum sampai ke Kuala Medang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor