Pages

Tuesday, November 26, 2013

TUBUH UNIT KHAS BURU PENEROKA HARAM


KUANTAN - Sebuah Pasukan Penguat Kuasa Bersepadu telah ditubuhkan bagi memantau dan menangani masalah penerokaan tanah haram di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pasukan itu terdiri daripada Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, pasukan itu bukan sahaja bertanggungjawab memantau penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands tetapi semua kawasan di seluruh negeri.

"Pasukan penguatkuasaan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani masalah penerokaan tanah yang berlaku.

"Terbaru, saya mendapat laporan seorang individu berpengaruh cuba mengugut pasukan penguat kuasa yang sedang memantau aktiviti penerokaan tanah haram di Blue Valley, Cameron Highlands," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Kadri Wan Mahussin (BN-Bukit Ibam) berhubung tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah penerokaan tanah secara haram yang berleluasa di negeri ini termasuk di Rompin.

Adnan berkata, ekoran laporan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Pasukan Penguat Kuasa Bersepadu tersebut untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

Mengenai soalan tambahan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) berhubung keperluan helikopter untuk kerja-kerja pemantauan aktiviti penerokaan tanah tersebut, beliau berkata, perkara itu tidak perlu.

Menurutnya, keperluan helikopter untuk tujuan tinjauan dari udara kepada pasukan itu tidak diperlukan memandangkan beliau sering berbuat demikian.

"Hasil tinjauan dari udara mendapati penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands sangat teruk. Jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata mahu lihat, kita boleh naik helikopter sama-sama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor