Pages

Monday, November 11, 2013

PKR SABAH HANCUR


BAPA borek anak rintik!. 'Bos besar' Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Seri Lajim Ukim tidak layak atau tidak berhak untuk melenting dengan perbuatan bekas anak-anak buahnya. Adakah mereka bersalah apabila menuruti jejak langkah dan tauladan yang ditunjukkan oleh beliau?.

Sama seperti Lajim yang mempunyai alasan tersendiri, diyakini Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad dan Matunggong, Datuk Jelani Hamdan itu dan beberapa pemimpin lagi (berdasarkan kepada sumber-sumber tertentu) turut mempunyai alasan kukuh masing-masing.

Maka, tidak perlulah memukul 'borong' mengatakan pihak ketiga sebagai dalang, kerana perbuatan itu seperti menepuk air di dalam dulang, akibatnya boleh terpercik ke muka sendiri.

Dikatakan bahawa perbuatan mencari 'padang ragut' yang lebih hijau itu merupakan permainan Barisan Nasional (BN), soalannya, perbuatan Lajim sebelum ini yang turut beralih arah, siapa pula yang menjadi dalang?

Sifir mudah, semestinya pihak lawan dan dalam kes Lajim, tanpa perlu dihuraikan siapa yang mendapat manfaat daripada perbuatannya.

Sebenarnya terlalu mudah untuk menuding jari menyalahkan pihak lain, tanpa perlu menginsafi kelemahan dan kekurangan diri sendiri, perlu diingat pada masa yang sama tiga lagi jari sedang menuding ke arah diri sendiri.

Mengikut percaturan politik, BN Sabah yang memperolehi mandat besar dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu sebenarnya tidak perlu lagi melakukan perbuatan jahat seperti yang didakwa segelintir bahawa ADUN ini telah 'dibeli', sekali gus membantu membentuk sebuah kerajaan.

Ini kerana, tanpa mereka ini sekalipun, BN telah mantap sebagai sebuah kerajaan yang kukuh hasil sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi rakyat Sabah. Atau dengan perkataan yang paling tepat, pakatan pembangkang yang hanya pandai bermain kata-kata penuh retorik telah ditolak, bukan kekalahan tipis tetapi kekalahan besar.

Masalah paling susah untuk diubati oleh sesiapa sahaja sama ada individu atau organisasi ialah apabila sukar menerima kekalahan, bukan setakat itu sahaja, mereka pada masa sama juga enggan menerima teguran dan nasihat, jauh sekali untuk bermuhasabah terhadap musibah yang melanda.

Semuanya dituduh pihak ketiga yang jahat melakukannya, diri sendiri dianggap seperti maksum, langsung tidak bersalah dan enggan mengakui kelemahan diri sendiri.

Menyentuh mengenai PKR Sabah, sebenarnya bukan lagi rahsia bahawa kemelut dihadapi mereka kini amat serius, bercelaru, caca-merba dan lintang-pukang. Segalanya serba tidak kena, cara mudah untuk menyorokkannya adalah dengan menyalahkan pihak lain.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, pembangkang memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu Sandakan dan Kota Kinabalu (DAP) serta Penampang oleh PKR, sementara DUN pula 12 kerusi iaitu Likas, Luyang, Sri Tanjong, Kepayan (DAP); Klias, Matunggong, Kadamaian, Moyog, Api-Api, Inanam, Tamparuli (PKR) dan Star di Bingkor.

Walau bagaimanapun pada 27 September lalu, ADUN Luyang daripada DAP, Hiew King Cheu mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum diikuti oleh ADUN Kadamaian, Jeremmy Malajad pada 4 November lalu sebelum diikuti empat hari selepas itu oleh ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan yang meletak jawatan Naib Pengerusi 1 Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR.

Terdapat fakta menarik mengenai Jelani, bekas orang nombor tiga berkuasa dalam PKR negeri yang membuktikan berlakunya caca-merba dan lintang-pukang dalam parti itu, beliau rupa-rupanya bukan ahli parti.

Beliau mendakwa telah memohon untuk menjadi ahli pada 7 julai 2010 tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang pengesahan, sama ada diterima atau sebaliknya.

Persoalannya bagaimana seseorang yang bukannya ahli boleh menganggotai MPN sebagai Naib Pengerusi, iaitu jawatan yang bertanggungjawab terhadap dasar-dasar untuk dipatuhi oleh ahli-ahli berdaftar, mungkin tersilap pandang atau kesalahan teknikal, harapnya begitulah jawapannya.

Ketika ditanya situasi ini, Jelani secara sinis menjawab: "Tanyalah Lajim kerana beliau yang menawarkan jawatan ini, bukan saya yang memintanya. Malah beliau sebagai Pengerusi MPN parti sepatutnya lebih mengetahui,".

Kepada pengundi-pengundi Sabah yang memilih PKR baru-baru ini, sanggupkah anda mengikuti parti seperti ini yang kononnya ingin membela nasib rakyat sedangkan diri sendiri pun tidak terkawal.

Jangan jadikan usaha pelaburan anda pada masa ini ‘meleburkan’ nasib anak cucu pada masa akan datang, buatlah pilihan terbaik.

1 comment:

  1. Pkr di Sabah caca marba, Pkr di sini lagi memeningkan kita dgn tindakan xmasuk akal mrk.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor