Pages

Wednesday, November 27, 2013

CADANG WUJUD PASAR RAYA


MEMPAGA – Sebuah pasar raya yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan perlu diwujudkan di kawasan ini seiring dengan perkembangan pesat yang dinikmati penduduk.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Mempaga Dua, Anuar Darus berkata, kawasan ini semakin berkembang bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga bilangan penduduk menerusi kewujudan Kompleks Penjara Bentong.

Menurutnya, bagi penduduk setempat mereka membeli barangan keperluan di kedai D’Mart kelolaan Felda Trading Sdn Bhd dan juga kedai runcit selain pergi ke Bandar Bentong.

“Sekiranya pasar raya dapat diwujudkan di kawasan ini ia secara tidak langsung dapat memudahkan penduduk membeli pelbagai jenis barangan termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Dalam masa sama, ia dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Hari Mesra Bersama Pelanggan anjuran D’Mart Mempaga Dua dekat sini.

Turut hadir Penolong Pengurus Besar Wilayah Mempaga (Pembangunan Komuniti), Jamaliah Ahmad dan Eksekutif Kanan Bahagian Pengurusan Felda Trading, Abd Raof Bidin.

Anuar berkata, pihaknya berharap Felda Trading dapat memainkan peranan memenuhi permintaan penduduk kawasan ini untuk mewujudkan pasar raya.

Menurutnya, hasil keuntungan yang diperoleh menerusi jualan barangan yang dijual di pasar raya itu kelak turut akan memberi keuntungan kepada peneroka menerusi pemilikan saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Sementara itu, Abd Raof berkata, pandangan penduduk supaya pasar raya diwujudkan sebuah di kawasan ini merupakan cadangan yang baik dan akan mengemukakan pandangan itu kepada pihak pengurusan tertinggi untuk diambil perhatian sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor