Pages

Thursday, October 10, 2013

RUGI LEBIH RM1,900 AKIBAT DITIPU SMS BONUSLINK


KUANTAN - Seorang lelaki kerugian RM1,977.54 gara-gara teruja dengan hadiah wang tunai berjumlah RM19,000 yang ditawarkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata mangsa yang bekerja sendiri berusia 20-an itu menerima SMS yang mendakwa dari Bonuslink memaklumkan sim kad beliau telah memenangi wang tunai berkenaan, pada kira-kira pukul 10 pagi di Raub, semalam.

"Mangsa yang teruja dengan tawaran itu bertindak menghubungi nombor tersebut dan bercakap dengan seorang lelaki. Suspek memintanya memasukkan wang berjumlah RM988.77 ke dalam satu akaun bank yang diberikan.

"Tidak lama kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memintanya memasukkan wang tunai RM988.77 ke dalam akaun sama menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM1,977.54, untuk tujuan pengurusan pemberian hadiah itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wan Shamsuddin berkata, mangsa mula sedar dirinya ditipu selepas melakukan transaksi kali kedua dan bertindak membuat laporan polis.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengabaikan SMS dari sumber tidak dikenali yang menawarkan ganjaran atau wang tunai kononnya dari pihak seperti Petronas, Power Root, Maxis dan Shell. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor