Pages

Friday, October 25, 2013

PEGANG TEGUH AJARAN ISLAM


PEKAN - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang berselindung di sebalik nama kebebasan hak asasi manusia, liberalisme dan fahaman Syiah.

Baginda bertitah, seharusnya umat Islam terus bersatu padu untuk memegang teguh ajaran Islam serta menjaga dan memantapkan akidah yang dimiliki dalam diri masing-masing.

“Rakyat jelata yang beragama Islam, beta menyeru supaya terus bersatu padu memegang teguh ajaran Islam, memelihara kesucian agama Islam dan menjaga dengan mantap akidah semasa Islam.

“Jangan sesekali terpedaya dengan dakyah yang berselindung di sebalik konsep hak asasi manusia, liberalisme dan fahaman Syiah yang boleh merosakkan akidah. Bagi bukan Islam, mereka boleh mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan bebas tanpa gangguan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Pahang sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini semalam.

Berangkat mencemar duli ke istiadat berkenaan ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Ahmad Shah turut bertitah agar seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini memelihara persefahaman di antara satu sama lain dan mengekalkan keharmonian yang sedia ada.

“Segala perkara remeh dan tidak penting yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman negara perlu ditolak ke tepi dan jangan sesekali diungkit.

“Pertelingkahan dan pergaduhan hanya akan merugikan rakyat, maka, semua rakyat perlu berfikir dengan sewaras-warasnya sebelum melakukan sesuatu," titah baginda.

Sementara itu, dalam titahnya, baginda turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang disifatkan cukup dedikasi dan cekap dalam menjalankan tugas-tugas diraja.

“Beta berasa bertuah dan bangga dengan kebolehan anakanda beta yang menjalankan tugas diraja dengan cekap semasa ketiadaan beta di dalam negeri. Tengku Abdullah telah memperlihatkan sifat keprihatinan dan dedikasi dalam membantu beta menyempurnakan tugas-tugas diraja," jelas baginda.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor