Pages

Wednesday, October 9, 2013

MUHYIDDIN YAKIN BN SEDIA HADAPI PRK SUNGAI LIMAU


Pemilihan UMNO pada 12 dan 19 Oktober ini tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu pada 4 November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan jentera pilihan raya yang dibentuk dengan penuh bersemangat terutama di peringkat negeri walaupun dalam situasi parti sedang menghadapi pemilihan tersebut.

Menurut beliau, BN mempunyai peluang merampas kerusi itu walaupun DUN Sungai Limau dianggap kubu kuat Pas memandangkan pernah menjadi wakil kepada penduduk di kawasan tersebut sebelum ini.

"Jentera yang dibentuk untuk menghadapi PRK ini bersemangat walaupun dalam suasana proses pemilihan UMNO. Jentera ini akan bekerjasama dalam apa juga keadaan walaupun dalam pemilihan ini akan ada yang menang dan kalah, namun mereka berjanji akan bekerjasama," katanya.

Menyentuh tentang calon, Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan nama calon BN bagi PRK itu pada 21 Oktober ini setelah senarainya dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk dipertimbang.

"Ramai yang berkelayakan. Yang pasti kita akan ambil kira pandangan negeri dan bahagian. Mereka juga ada nama tokoh-tokoh yang sesuai.

"Nama calon akan diumumkan pada 21 Oktober ini. Saya sendiri akan buat pengumuman itu dan harapan saya proses pilihan raya kecil (akan) berjalan baik," katanya.

Beliau turut menggesa pengundi di kawasan itu memberi peluang kepada BN menjadi wakil rakyat mereka dalam usaha memastikan kawasan tersebut dapat dibangunkan dengan baik.

"Sebab itu kita sedia untuk bertanding di PRK ini agar semua kawasan di sini dapat dibangunkan. Kita tahu penduduk di sini terlibat dengan pertanian kerana ada petani dan nelayan selain ada yang bekerja sendiri, profil ini penting supaya kita dapat penuhi aspirasi mereka," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Ini merupakan PRK kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor