Pages

Friday, October 11, 2013

MUHYIDDIN BERKAMPUNG BERSAMA RAKYAT KEDAH


Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berkampung selama enam hari di Kedah bagi memastikan jentera Barisan Nasional (BN) dalam keadaan terbaik serta bersemangat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Othman Aziz berkata, Muhyiddin selaku Pengarah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan berada di kawasan itu pada 21, 23, 26, 29, 30 Oktober ini dan 3 November.

"Kehadiran Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kepada kita dan pengundi-pengundi di kawasan Sungai Limau bahawa BN serius menghadapi pilihan raya kecil ini.

"Pelbagai program untuk rakyat telah diatur sepanjang beliau berada di Sungai Limau dan pihak kami berharap orang ramai tidak melepaskan peluang bertemu beliau lebih dekat," katanya ketika ditemui di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Menurut Othman, bilik gerakan UMNO yang terletak berhampiran Kompleks Bernas di pekan Sungai Limau juga telah beroperasi hari ini.

"Kaunter daftar pemilih juga dibuka di bilik gerakan ini, pengundi berdaftar kini boleh menyemak maklumat mereka di situ.

"Secara ringkasnya memang BN telah bersiap sedia untuk menghadapi serta menggempur habis-habisan kubu Pas pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau ini," jelasnya.

Kerusi DUN Sungai Limau di bawah Parlimen Jerai kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung dan kencing manis.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN.

Ini merupakan PRK kedua selepas PRU-13 dengan yang pertama adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor