Pages

Thursday, October 17, 2013

JANGAN LANGGAR HUKUM KALIMAH ALLAH


KOTA BAHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan semua pihak di negeri ini bahawa sesiapa sahaja yang melanggar Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 termasuk menggunakan kalimah Allah di luar Islam boleh dihukum berdasarkan enakmen tersebut.

Tegas beliau, perlanggaran terhadap enakmen tersebut adalah sama dengan tindakan seseorang individu di negara ini yang melanggar undang-undang iaitu kesalahan dilakukan akan dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum secara adil.

Justeru, beliau berkata, sekiranya orang bukan Islam masih mahu menggunakan kalimah tersebut, itu adalah hak masing-masing, namun mereka perlu 'faham' bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang untuk dipatuhi.

"Kita duduk dalam negara yang ada undang-undang, negara yang amalkan undang-undang, jadi terserah kepada mereka untuk menggunakannya kerana mahkamah pun ada satu tahap lagi untuk mereka kemukakan rayuan.

"Tetapi kami di Kelantan sudah ada enakmen. Sudah lama enakmen itu yang melarang mereka di luar Islam daripada menggunakan kalimah Allah dan ini adalah undang-undang yang digunakan di bawah mahkamah sivil," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Gereja Malaysia, Dr. Eu Hong Seng bahawa gereja Kristian seluruh negara akan tetap menggunakan kalimah Allah dalam acara keagamaan, doa dan bahan pendidikan kerana alasannya keputusan Mahkamah Rayuan hanya tertakluk kepada penyiaran majalah mingguan, The Herald.

Ditanya kemungkinan berlaku penentangan oleh orang Islam sekiranya kalimah Allah terus digunakan di luar Islam, Mohamad berkata:

"Itu adalah satu kemungkinan, antara yang kita tidak mahu. Kalau itu menjadi amalan, terserah kepada mereka kerana kita sudah buat keputusan kalimah Allah adalah eksklusif kepada orang Islam, itulah keputusan muzakarah dan yang ada dalam enakmen negeri Kelantan.

"Jadi kalau sesiapa yang mahu langgar undang-undang itu, perkara lain pun ada undang-undang dan semua yang rasional faham apa akibat perlanggaran itu, jadi siapa langgar (penggunaan kalimah Allah di luar Islam) semua kena faham, kita serah kepada pihak yang mempunyai kuasa, Jabatan Mufti hanya memberikan fatwa," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor