Pages

Friday, October 18, 2013

EMPAT PARAH NAHAS TIGA KERETA


KUALA PILAH - Empat parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus di sini awal pagi ini.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 6 pagi itu turut mengakibatkan salah sebuah kenderaan iaitu Perodua Myvi musnah terbakar.

Kesemua empat yang cedera parah itu ialah pemandu Perodua Myvi, Mazirah Ishak, 25, dan tunangnya, Mohd. Izwan Yusop, 27, serta pemandu Proton Saga BLM, Mohd. Wasan Ismail, 22, dan Khairul Izhar Razali, 21, yang memandu Naza Citra.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dari arah Seremban yang menghala ke Kuala Pilah terbabas ketika menuruni bukit di laluan berkenaan.

Katanya, kenderaan itu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Pilah.

"Pada masa yang sama, kenderaan pelbagai guna Naza Citra yang mengekori belakang Perodua Myvi itu turut dirempuh oleh Proton Saga selepas cuba mengelak ke kiri jalan.

"Berikutan kemalangan ini, kereta Perodua Myvi tersebut terbalik beberapa kali sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azmi, kesemua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk menerima rawatan.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah, Pegawai Bomba Kanan II Mazlan Jantan ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.04 pagi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah berhubung kemalangan itu.

Tambah beliau, lapan anggota yang terdiri daripada lima dari Balai Bomba Senawang dan tiga dari Kuala Pilah dengan dua buah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Sebaik sahaja kami sampai kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang ramai manakala kereta Perodua Myvi yang terbakar berjaya dipadamkan oleh anggota bomba," katanya.

Sementara itu abang kepada Mazirah, Faizal, 38, ketika dihubungi berkata, adiknya bersama Mohd. Izwan berlepas dari rumah keluarganya di Felda Pasoh 3, Jempol kira-kira pukul 5.30 pagi menuju ke Shah Alam, Selangor selepas menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha.

"Saya telah dihubungi oleh Mohd. Izwan pada pukul 6.30 pagi memaklumkan mereka berdua terlibat dalam kemalangan.

"Adik saya dan tunangnya kini dirawat di Wad Kecemasan HTAN. Saya belum mendapat maklumat mengenai kecederaan Mazirah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor