RAUB - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pencemaran Sungai Pahang dan beberapa sungai di negeri ini berpunca daripada kegiatan perlombongan persendirian di beberapa daerah.
Katanya, walaupun kerajaan negeri Pahang telah mengeluarkan lesen kepada pemilik tanah yang mempunyai lombong, malangnya kegiatan perlombongan persendirian itu tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Air lombong terbabit mengalir masuk ke sungai termasuk Sungai Pahang dan mengakibatkan air sungai terbabit tercemar.
"Selain mengancam hidupan di dalam air, ia turut mengancam kesihatan penduduk yang mendapatkan bekalan air daripada sungai berkenaan," katanya ketika mengulas pencemaran loji air Kampung Batu Embun, Jerantut dan loji Jengka 8, Jengka.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama pemimpin Umno Bahagian Raub di sini, semalam.
Sehubungan itu, Adnan mengarahkan kegiatan perlombongan sedemikian dihentikan segera walaupun pelombong memiliki lesen bagi memastikan air sungai tidak tercemar.
"Saya mahu Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi yang ada kaitan dengan perlombongan terbabit supaya menyiasat segera kegiatan ini dan jika ia menyalahi peraturan dan syarat, tindakan tegas mengikut undang-undang hendaklah diambil bagi menjaga kepentingan awam dan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata, bekalan air di kedua-dua kawasan terbabit diberhentikan sementara pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) membersihkan loji itu.
Beliau memberi jaminan bekalan air kepada penduduk di dua kawasan itu akan disambung kembali secepat mungkin. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor