Pages

Wednesday, September 4, 2013

PENGELUARAN PADI PAHANG BAKAL MENINGKAT


KUANTAN - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan di daerah itu daripada purata 2.4 metrik tan sehektar kepada enam metrik tan sehektar setelah dipilih sebagai kawasan jelapang padi kesembilan negara.

Pengarahnya, Mohd. Yusoff Sadi Sutan berkata, kawasan terlibat seluas 7,211 hektar melibatkan Pahang Tua (1,275 hektar), Ganchong (1,005), Pulau Jawa (209), Mambang (348), Serandu (240) dan Merchong dengan keluasan 4,134 hektar.

"Kita sasarkan setelah kerja-kerja pembangunan dilaksanakan, dalam tempoh tujuh tahun akan dapat capai jumlah pengeluaran enam metrik tan sehektar.

"Buat masa ini, kerja-kerja pembangunan seperti penyediaan infrastruktur belum lagi dilaksanakan kerana IADA dalam proses memperkemaskan maklumat asas bagi memudahkan gerak kerja memajukan sektor padi dijalankan," katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Komuniti Padi Pekan 2013 yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Md. Kassim Mahmud di Indera Sempurna Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan, Datuk Abdul Manaf Sulong.

Mohd. Yusoff Sadi berkata, pihaknya akan membina tali air dan parit tambahan di Pahang Tua, menaiktaraf infrastruktur sedia ada di Ganchong dan Pulau Jawa serta membina pintu kawalan pasang surut dan sistem pengairan di Merchong.

Beliau berkata, pihak IADA juga akan menyediakan sistem penjadualan penanaman padi yang lebih sistematik dan teratur.

"Tujuan penjadualan ini adalah bagi memastikan masalah seperti aktiviti pembajakan, pengagihan air, membaja, kawalan penyakit perosak, penuaian dan banjir dapat diatasi dengan berkesan.

"Kejayaan penanaman dua kali setahun hanya akan berjaya jika perancangan dan penjadualan penanaman padi diikuti oleh pesawah," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, faktor utama bagi menjamin kejayaan penanaman padi adalah interaksi yang baik antara komponen pertanian meliputi kemudahan infrastruktur, teknologi tanaman dan petani.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor