Pages

Friday, September 20, 2013

KALIMAH ALLAH WAJIB PERTAHANKAN


MUNGKIN ada yang fikir isu kalimah Allah sudah selesai tetapi hakikatnya jauh berbeza kerana ia akan berterusan selagi ada pihak yang mahu salahguna kalimah tersebut dan selagi ada umat Islam diperguna kerana tidak memahami hujah dan fakta untuk mempertahankannya.

Atas keperluan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil inisiatif menerbitkan hujah dan fakta sahih bagi memberi penerangan kepada rakyat, bukan sahaja dalam bahasa Melayu malahan dalam bahasa Inggeris.

Felo Kanan merangkap Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), IKIM, Dr. Wan Azhar Wan Ahmad selaku editor monograf Controversy Over the Term "Allah" in Malaysia cuba merungkai isu panas ini.

Menurut beliau, monograf yang sesuai untuk semua peringkat dan kumpulan itu mengumpulkan artikel bahasa Inggeris untuk menunjukkan kesinambungan hujah dan fakta khususnya untuk pemahaman orang bukan Islam mahupun mereka yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris.

"Monograf ini sesuai untuk semua dan kita telah sampaikan satu salinan kepada Perdana Menteri, khususnya dalam menjelaskan kesalahan bahasa apabila menterjemah 'God' sebagai 'Allah'.

"Ada juga fakta dan hujah lain tetapi fokus utama kepada kesilapan terjemahan yang menjadi asas utama isu ini. Sebuah lagi buku terbitan IKIM, Antara Nama dan Hakikat: Kemelut Kalimah Allah tulisan Md. Asham Ahmad pula ada menjelaskan hujah lain dengan lebih terperinci," jelasnya.

Tegasnya, apa yang perlu difahami semua pihak adalah terjemahan 'God' kepada 'Allah' bukan sahaja tidak tepat malahan salah kerana kalimah Allah tiada dalam mana-mana versi Injil asal dalam bahasa Hebrew atau Latin mahupun terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Beliau berharap umum memahami 'Allah' merupakan satu kata nama khas yang tidak boleh diterjemahkan sementara 'God' merupakan kata nama umum diterjemah menjadi 'Tuhan', juga kata umum dalam bahasa Melayu.

"Seperti nama manusia, bolehkah diterjemah? George Bush jadi George 'Semak'? Jika nama umum mahu diterjemah ke nama khas (atau sebaliknya), jelas sekali ia tidak betul.

"Jika dibenarkan, terjemahan 'gods' pula akan menjadi 'allah-allah' yang nyata satu penghinaan (kepada Islam). Sanggupkah mereka ini jika perkataan 'Tuhan' dalam Rukun Negara dan lagu Negaraku juga ditukar kepada Allah," soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan terjemahan yang cuba dibuat pihak terbabit itu khususnya dalam bahasa Melayu sedangkan tiada pula kesungguhan serupa untuk terjemahan Mandarin dan Tamil di negara ini.

Tambahnya, bukannya isu 'penggunaan' tetapi 'penyalahgunaan' kalimah Allah yang dipertikai terutamanya dalam bahasa Melayu yang fokusnya pasti kepada orang Melayu sedangkan bangsa lain lebih menggunakan bahasa Inggeris di gereja.

"Kita pun hairan kenapa beria-ia nak terjemahan (God) dalam bahasa Melayu, jika mahu martabat bahasa kebangsaan kita sambut baik tetapi dalam isu ini nampak seperti ada niat lain. Bahasa Hebrew, Latin dan Inggeris tiada Allah tetapi bila bahasa Melayu jadi Allah pula?

"Mungkinkah ini melibatkan usaha melemah Islam dan bangsa Melayu di negara ini? Jika kalimah Allah digunakan mengikut maksud asalnya dalam Islam tidak mengapa tetapi menerapkan ciri-ciri Kristian (Trinity) tidak bolehlah," tegasnya.

Menjelaskan lebih lanjut hujah nama khas itu, Wan Azhar memaklumkan setiap agama perlu mempunyai konsep tuhan yang kukuh dan nama khas tuhan agama tersebut dinyatakan dalam kitab asal mereka sejak mula diamalkan.

Menurutnya lagi, nama Allah sudah ada dari awal lagi dalam al-Quran bersama nama khas 'Islam' serta 'Muslim', bukannya nama khas yang diberi oleh orang Arab jahiliah.

"Asalkan Islam akan gunakan Allah, satu sahaja kalimah dari awal lagi. Kristian tidak pernah guna pun kalimah Allah dalam kitab mereka, di mana kewajarannya untuk mula guna sekarang?

Dalam al-Quran juga ada ayat-ayat yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tidak betul jika dakwaan al-Quran benarkan mereka guna kerana dalam Kristian contohnya, kalimah ini mahu gambarkan Trinity atau 'Jesus', bukannya Allah yang satu (esa)," ujarnya.

Tambahnya, tidak mungkin agama sebesar itu tidak mempunyai nama khas untuk tuhannya dan tindakan beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah seolah-olah menyatakan tuhan Kristian tiada nama selama ini.

Beliau melihat kumpulan yang membangkitkan isu tersebut pada masa sama telah menghina agama mereka sendiri, mungkin kerana tidak membaca hujah-hujah terdahulu para paderi yang menolak menggunakan kalimah Allah dalam Kristian.

"Adakah Pope sendiri setuju dengan usaha mereka ini? Para paderi Kristian pun tidak setuju unsur-unsur Islam masuk kerana khuatir elemen Trinity iaitu identiti Tuhan mereka akan terjejas.

"Kajian di Belanda pada 2007 juga menunjukkan 92 peratus daripada 4,000 responden Kristian Katolik tidak setuju gunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Di Indonesia juga ramai tidak setuju malahan Injil versi baharu mereka sudah keluarkan kalimah Allah," katanya.

Beliau juga berpendapat mahkamah bukan medan terbaik untuk menentukan isu sedemikian kerana tiada 'privilege' ilmu agama dan lebih baik jika diadakan dialog inter atau intra agama antara cerdik pandai keagamaan berbanding secara terbuka sehingga mengelirukan orang ramai.

Beliau menasihati mereka yang tidak layak agar tidak bercakap mengenai isu tersebut walaupun mereka itu pemimpin, hakim, peguam mahupun rakyat biasa sementara cerdik pandai agama perlu akur dengan kebenaran fakta, tidak boleh mengikut nafsu agenda lain sehingga mengabaikan kepentingan agama.

"Ingatlah, adil itu meletakkan keutamaan kepada yang benar, bukan kepentingan peribadi, itu zalim dan impaknya kepada umum. Elakkan anarki sosial, kita takut dan syak isu ini melibatkan usaha menyebar Kristian di kalangan orang Melayu (Islam) di Malaysia.

"Paling tidak pun, ia akan mengelirukan dan melemahkan pegangan umat Islam khususnya orang muda. Fakta tetap fakta, perlu dibawa ke depan. Fakta tidak berubah bila-bila masa pun dan akan kekal relevan," tegasnya.

Wan Azhar juga bimbang jarum-jarum kekeliruan bermula dengan beberapa perkataan sehingga ke tahap masjid dan gereja tidak dibezakan anak muda untuk beribadat, memudahkan orang Melayu dibaptiskan seperti kes paderi Melayu dan Lina Joy sebelum ini.

Beliau melihat kewujudan Injil versi bahasa Melayu juga menjadi bukti usaha mengkristiankan orang Melayu sudah lama berjalan tetapi dilemanya jika dibiar maka dipijak, jika melawan dikatakan rasis dan menentang hak asasi pula sehingga tidak berani diuar-uarkan para pemimpin.

"Ini cuma perjuangan individu-individu yang bergabung dalam kumpulan kecil, bukan semua orang Kristian terlibat atau sokong kerana mereka ini ada agenda tertentu. Isu ini akan berterusan, maka usaha tingkatkan pemahaman umum termasuk para pemimpin juga perlu diteruskan.

1 comment:

  1. Umat Islam tiada pilihan melainkan menolak sekeras kerasnya penggunaan Kalimah Allah (swt) oleh kafir utk merujuk kpd tuhan tuhan dan ilah ilah mrk yg berbagai bagai dan berbilang bilang. Jika sebaliknya, akan terlibat sama meredhai, menyetujui dan menyokong kemusyrikan, na'uzubillah !

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor