Pages

Tuesday, September 3, 2013

JANGAN NAIK HARGA BARANG - HASAN MALEK


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil tindakan di bawah Akta Antipencatutan dan Kawalan Harga sekiranya ada peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati ekoran kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya mengingatkan golongan peniaga supaya tidak sesuka hati mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Kata beliau, sekiranya ada peniaga yang berdegil dengan menaikkan harga barangan, pihak kementerian tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka.

"Kami telah buat kajian, pengurangan subsidi minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen ini tidak memberi kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja.

"Jadi, saya nasihatkan golongan peniaga di luar sana supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan. Sekiranya kami dapati ada peniaga yang berbuat demikian, tindakan di bawah Akta Antipencatutan, Akta Kawalan Harga dan sebagainya akan dikenakan," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau ditanya mengenai jaminan tiada kenaikan harga barangan keperluan ekoran kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Mengulas lanjut, Hasan memberitahu, Ops Harga yang dilancarkan sejak awal tahun masih berjalan dan pihak kementerian akan terus turun padang bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati oleh para peniaga.

"Penguatkuasaan akan dilaksanakan setiap masa. Kementerian sentiasa menggerakkan 1,845 anggota termasuklah 1,071 pegawai pemantau harga di seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga terutamanya barang kawalan sesuka hati.

"Kami akan sentiasa memastikan harga barangan di pasaran sentiasa dalam keadaan stabil dan tidak membebankan pengguna," jelasnya.

2 comments:

  1. malang rakyat malaysia dapat menteri macam ni, hal ayam pun tak dapat setel, nak cakap banyak.pirah!!!!

    ReplyDelete
  2. Kita tengoklah macamana...jgn terus menghukum...

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor