Pages

Thursday, September 5, 2013

IMPIAN ARTHUR TERCAPAI



KUANTAN- “Walaupun beliau warga British yang mendapat status penduduk tetap (PR) di sini, jiwa dan rasa cinta Arthur Waters, 92, kepada negara ini cukup tebal.

“Selepas menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan Home Guard yang berpangkalan di Sungai Siput, Perak  pada tahun 1962, beliau mengambil keputusan untuk menetap di sini walaupun ketika itu dia masih mempunyai saudara mara di Harrow, England,”kata Ahmad Khalil Mohamed Yusof, 56.

Ahmad Khalil merupakan keluarga angkat kepada Arthur  Waters atau nama Islamnya Anwar Waters Abdullah, seorang bekas polis British yang dianggap wira negara kerana jasa dan pengorbanannya menentang pengganas komunis sepanjang berkhidmat dalam pasukan Home Guard sejak 1948 hingga 1962.

Anwar yang masih bujang dan menetap di kediamannya di Dusun Kampung Sungai Karang dekat sini meninggal dunia 28 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat sakit tua.

Ahmad Khalil berkata, Allahyarham yang memeluk Islam sejak 38 tahun lalu cukup besar jasanya kepada Malaya ketika itu kerana keberanian menggempur kubu pengganas komunis di sekitar Sungai Siput.

“Secara peribadinya beliau seorang yang baik dan banyak berjasa kepada kami sekeluarga walaupun ketika itu ayah saya hanya bekerja sebagai pemandu  manakala ibu tukang masak di rumahnya.

“Selepas tamat perkhidmatannya, beliau enggan pulang ke England sebaliknya bekerja sebagai pengurus di beberapa buah ladang di sini,” katanya.

Menurutnya, dia dan adik-adiknya lahir di rumah pegawai itu  malah turut dibesarkan oleh Anwar yang turut dianggap bapa bagi mereka bertiga.

“Beliau pernah menyatakan hasratnya kepada kami  untuk tinggal, mati dan dikebumikan di sini.

“Sebab itu kami memohon kepada pihak Pesuruhjaya Tinggi Britih surat kebenaran memohon supaya jenazahnya tidak dihantar balik ke England sebaliknya dikebumikan di sini mengikut cara Islam ,”katanya.

Ahmad Khalil berkata, arwah tiada saudara mara lagi memandangkan adik beradiknya difahamkan sudah meninggal dunia.
“Salah seorang adiknya, Jack  ada datang melawat beliau di sini kira-kira 15 tahun lalu dan selepas itu kami terus terputus hubungan,” katanya.

Jenazah Anwar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini kira-kira jam 10.30 pagi semalam.


Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani, pegawai kanan dan anggota polis Pahang.

Sharifuddin ketika ditemui berkata, beliau menganggap Anwar sebagai seorang wira negara kerana banyak jasanya ketika menentang pengganas komunis di zaman darurat.

Beliau berkata, dia mengenali Allahyarham ketika melawat dan menziarahi bekas polis itu pada 2011.

“Beliau sentiasa tenang dan wajahnya tidak dimakan usia walaupun umurnya sudah lebih 90 tahun.

“Beliau suka bercerita dan berkongsi pengalaman dan saya sendiri banyak belajar hal-hal kepolisan dari bekas polis berpangkat Leftenan ini,” katanya.

Sharifuddin berkata, segala impiannya untuk mengabdikan diri di negara ini tercapai apabila pihak kedutaan membenarkan jenazahnya dikebumikan di sini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor