Pages

Thursday, September 19, 2013

DAP AMALKAN POLITIK PERKAUMAN


ENTAH kenapa apabila disebut perkataan ‘kiasu’, kita terus merujuk kepada sikap dan budaya politik orang Singapura. Penulis punya ramai teman dari Singapura sewaktu menuntut dahulu, namun tidak seorang pun yang dirasakan membawa imej dan sikap kiasu. Kebanyakan mereka adalah warga Singapura yang sangat mesra dan mudah didekati.

Merujuk kepada khidmat bantuan bahasa yang ditawarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara dalam talian, ‘kiasu’ tidak mempunyai makna. Tetapi jika dirujuk kepada kamus Bahasa Inggeris, kiasu merujuk kepada sikap penting diri (a grasping, selfish attitude). Menurut kamus Bahasa Inggeris lagi, asal usul perkataan kiasu ini adalah daripada budaya Cina yang membawa aura scared to lose, takut kepada kekalahan.

Sebagai sebuah parti di dalam ikatan politik longgar pembangkang, DAP sudah mencatat keuntungan yang luar biasa besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Lonjakan sokongan kepada DAP sangat jelas dan nyata. Kemenangan 38 daripada 51 kerusi Parlimen yang ditandingi adalah bukti yang sangat nyata. Secara keseluruhan, DAP mencatatkan peratusan kemenangan yang sangat besar - 70 peratus (%) daripada kerusi yang mereka tandingi.

Mungkin di atas keseronokan kemenangan itulah, DAP tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Model politik pakatan, walaupun longgar dan penuh kecurigaan, boleh dijadikan asas kepada DAP untuk menampilkan parti tersebut sebagai jagoan dalam ikatan politik tersebut. Mempunyai hampir 43% kepentingan dalam saham politik pakatan membawa makna yang besar.

Sebanyak 43% saham politik belum cukup untuk melonjak kedudukan politik DAP. Disebabkan itu, menggunakan alas politik ‘Impian Sarawak’ - DAP mahu membuat perhitungan politik lebih bersungguh di kawasan luar bandar di negeri tersebut. Dalam tempoh lima tahun, DAP menginginkan ekuiti lebih besar dalam ikatan politik pakatan pembangkang.

Walaupun menggunakan penjenamaan ‘Impian Sarawak’, apa yang mahu disorokkan adalah niat politik ultrakiasu, pentingkan diri yang berterusan. DAP kecewa dengan kelemahan rakan politik mereka yang gagal menarik sokongan lebih besar di kawasan luar bandar. Pas yang diberikan lesen mutlak ‘tahaluf siyasi’ tidak mampu menarik minat pengundi luar bandar. DAP wajar bergerak sendirian pada masa akan datang.

Daripada sudut politik, sikap kiasu politik DAP bertempat. Gegak gempita kemenangan majoriti puluhan ribu DAP di Kepong, Seputeh, Tanjung, Petaling Jaya Utara, Cheras, Bukit Mertajam, Bukit Gelugor dan Bagan - tidak akan mampu melonjak ekuiti sebenar DAP dalam formula politik pakatan.

Berasaskan semangat politik kiasu, DAP mahu sesuatu yang lebih daripada itu. Kita boleh mengagak dan membuat kesimpulan awal, sikap politik kiasu DAP akan membawa retak yang jelas dalam ikatan politik mereka sedikit masa lagi.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman punya pengalaman peribadi yang jelas mengenai isu ini. Rasa kecewa dengan sikap kiasu ala pendewaan politik di Pulau Pinang, diperjelas dalam minit mesyuarat yang akhirnya menjadi bualan umum. Apa yang berlaku, walaupun mungkin mencalar imej Ketua Menteri, namun tidak mengurangkan undi kepada DAP di negeri tersebut.

Mungkin, di atas sebab sikap kiasu politik jugalah menyebabkan pakatan pembangkang melambat-lambatkan pengumuman Kabinet bayangan yang menjadi isu mutakhir ini. Jika benar ‘berpakat’, tidak ada sebab untuk melewatkan pengumuman Kabinet bayangan. Pembangkang wajar menggunakan sesi Parlimen berikutnya sebagai medan menamakan Kabinet yang mahu ditampilkan.

Penulis mengucapkan tahniah kepada sebuah artikel bertajuk Changing face of Malaysia - in Lee Kuan Yew‘s eyes yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini. Sekurang-kurangnya, penulis artikel tersebut berani membicarakan ‘realiti politik’ Malaysia yang perlu difahami jelas oleh mereka yang terlalu yakin dan ultrakiasu.

Ini diperkukuh dengan fakta hanya 45 kerusi Parlimen majoriti pengundi Cina daripada 222 keseluruhan kawasan Parlimen di Malaysia. Penulis artikel yang sama turut menyatakan jika semua pengundi Cina tidak mengundi BN sekalipun - kerajaan tidak akan tumbang.

Kita tidak perlu meletakkan suasana politik sedemikian ekstrem. Yang nyata, sejarah membuktikan, pendulum sokongan pengundi Cina boleh berubah mengikut musim dan suasana politik. Ada ketikanya, BN akan menikmati sokongan yang baik. Dengan strategi yang betul, diikuti dengan penjernihan imej yang berkesinambungan, BN boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.

DAP tidak pernah mengubah strategi politik. Semuanya masih bersandarkan kepada jalur rasisme kental dan semangat perkauman. Semangat meritokrasi, ideal transparensi dan akauntabiliti hanyalah saduran. Di dalam jiwa dan semangat politik, DAP masih lagi punya semangat yang sama.

Kita boleh lihat bagaimana pemimpin DAP seperti Kit Siang yang menggunakan pengumuman Agenda Bumiputera minggu lalu sebagai senjata ampuh untuk menyerang tindakan kerajaan. Beberapa artikel yang jelas menonjol semangat perkauman seperti ‘Di Mana Kerajaan Saya?' (http:// blog.limkitsiang.com/2013/09/17/where-is-my- government/#comments) dan http://blog. limkitsiang.com/2013/09/16/has-najib-finally- abandoned-the-new-economic-model-nem/ sangat bersesuaian dengan semangat kiasu mereka.

BN perlu membuat analisis politik lengkap lagi jujur dalam mendepani cabaran politik yang dibawa DAP. Kaedah gerakan mereka nampak sangat tertumpu dan mempunyai sasaran jelas. Tidak dapat tidak, pendekatan politik drastik mesti diambil dalam memastikan UMNO dan BN tidak terus bermasalah mendapat sokongan di bandar.

Kaedah politik lama, menyediakan makan malam dengan hadiah cabutan bertuah mungkin sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Wajah politik perlu dijernihkan. 2,040 pusat daerah mengundi (PDM) bermajoriti pengundi Cina termasuk lebih 940 daripadanya mempunyai majoriti lebih 70% pengundi Cina memerlukan model politik baharu.

Jika perlu, mungkin sudah tiba masanya BN melantik Sekretariat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (SKRBN) di kawasan Parlimen yang strategik dan boleh dimenangi. Pilih orang muda yang bersih dan berintegriti untuk memberi khidmat kepada rakyat. Hierarki kepartian yang melembabkan dan melemahkan transformasi politik mesti diubah.

Kalangan yang tidak benar-benar menjiwai semangat BN wajar diketepikan terus. BN perlu tegas dengan disiplin politik untuk mendapat hormat dan penghargaan rakyat. Selagi mana mereka yang mensabotaj BN, mampu terus mendekati rakyat, selagi itulah BN akan kehilangan maruah dan integriti.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor