Pages
▼
Thursday, September 12, 2013
13 CEDERA MELIBATKAN BAS EKSPRES
KUALA LUMPUR - Sebanyak 36 penumpang bas nyaris maut dalam satu kemalangan melibatkan dua buah bas ekspres, sebuah treler dan sebuah kereta di Kilometer 31.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, selepas terowong Genting Sempah menghala ke ibu negara dekat sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 3.30 petang itu, sebanyak 13 mangsa cedera termasuk tiga penumpang bas dan seorang penumpang kereta yang mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku ketika sebuah bas yang baru turun dari Genting Highlands membawa 24 penumpang telah merempuh bahagian belakang treler yang membawa muatan bijih timah.
Ketika itu, treler tersebut dikatakan sedang memperlahankan kenderaan kerana menuruni bukit.
Sejurus selepas pelanggaran itu, sebuah lagi bas ekspres dari Temerloh, Pahang yang membawa 12 penumpang tidak sempat mengelak lalu melanggar bas pertama seterusnya merempuh penghadang lebuh raya.
Sebuah kereta Honda City yang dinaiki sepasang suami isteri yang berada di belakang bas ekspres itu juga tidak sempat mengelak lalu terbabas dan terbalik.
Isteri pemandu Honda City itu dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala dan sekurang-kurangnya tiga penumpang bas ekspres dari Temerloh itu cedera parah dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Ini merupakan kemalangan membabitkan bas yang berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas tragedi bas Genting Highlands yang meragut 37 nyawa pada 21 Ogos lalu.
Dalam nahas terburuk di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur itu, bas yang dinaiki 53 orang itu terhumban sejauh 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.
Sementara itu, pemandu treler terlibat, Aris Embong, 53, berkata, dia sedang memandu menghala ke Pelabuhan Klang telah memperlahankan kenderaannya setelah melepasi terowong Genting Sempah dan menuruni bukit.
"Ketika itu juga saya melihat kon-kon berwarna merah dipasang di laluan perlahan dan terus memperlahankan kenderaan.
"Bagaimanapun tiba-tiba treler ini bergoyang disusuli dentuman kuat dari arah belakang. Sejurus melihat cermin sisi saya ternampak sebuah bas melanggar belakang treler," katanya.
Katanya, ketika itu dia tidak melihat terdapat sebuah bas dan satu kenderaan lain turut kemalangan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 30 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 3.49 petang.
Katanya, jentera dari Balai Selayang, Bentong dan Wangsa Maju turut terlibat dalam operasi menyelamat.
"Pihak kami masih menyiasat punca sebenar kemalangan ini dan setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor