Pages

Thursday, August 8, 2013

PM SERU RAKYAT HARGAI KESEJAHTERAAN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia sentiasa menghargai dan memelihara keamanan serta kemakmuran yang dikecapi serta merungkai rasa prejudis antara satu sama lain demi memastikan kelangsungan dan kestabilan negara terus dikekalkan.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa bukan mudah untuk membina dan memastikan kelangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia hari ini.

Malah dalam konteks Islam, katanya perpaduan nasional yang tuntas tidak mungkin dicapai jika tiadanya kesepakatan (ijmak) di kalangan umatnya dalam perkara-perkara asas beragama, dan polemik tanpa kesudahan hanya akan merugikan semua pihak.

Berucap menyampaikan perutusan Aidilfitri 2013, Perdana Menteri melahirkan rasa syukur kerana rakyat di negara ini masih berpeluang meraikan hari lebaran dalam keadaan aman dan bebas daripada peperangan, persengketaan, mahupun bencana alam melampau, sepertimana yang melanda saudara-saudara seakidah di beberapa negara seluruh dunia.

"Makanya, pada hari-hari kebesaran seperti ini, atas nama negara yang tercinta, pupuklah dan teruskanlah menyemai bibit-bibit kesatuan sesama kita, bukannya perpecahan demi pengukuhan perpaduan kebangsaan," katanya.

Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung di RTM.

Beliau juga mahu rakyat negara ini mengambil iktibar daripada pengalaman dan pergolakan yang sedang dihadapi beberapa negara luar yang berlaku kerana fahaman melampau yang menjadi elemen negatif yang memporak-perandakan sesebuah negara bangsa dan menghancurkan kelestarian tamadunnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyeru umat Islam di negara ini agar tidak tersasar daripada ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah baik daripada segi akidah, syariah dan keperibadian.

Katanya, kerajaan telah memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam, dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah dilarang.

Penetapan dasar itu, katanya, sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya.

"Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berwaspada dan berhati-hati, janganlah sesekali terpedaya pada pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan tradisi amalan Islam di Malaysia ini," katanya.

Najib berkata, umat Islam di negara ini haruslah memahami bahawa penetapan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk mempastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dibela sekali gus dipertahankan agar perpaduan umat Islam sentiasa berkekalan.

"Sebagai umat Islam, kita seharusnya berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman yang menyongsang daripada ajaran murni Ahli Sunnah Wal-Jamaah selama ini. Pokoknya, kita tidak mahu sifat taksub dan fanatik yang akan mengelirukan rakyat khususnya orang Islam kerana akan memecahbelahkan ummah," katanya.

Seterusnya perdana menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil yang jernih dengan meruntuhkan dan merungkaikan prejudis antara satu sama lain, sebaliknya membuka 'pintu hati' dan pintu rumah dengan jujur dan ikhlas dalam meraikan perayaan Aidilfitri.

Beliau juga mahu rakyat meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan mempertautkan muhibah rakyat Malaysia.

Perdana Menteri turut mengajak masyarakat Malaysia untuk menzahirkan penghargaan kepada prajurit tanah air terutamanya yang bertugas di perbatasan, serta anggota pasukan keselamatan yang sejak sekian lama telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Najib turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf bagi pihak dirinya, isteri serta keluarga di atas apa-apa kekhilafan dan memanjatkan doa supaya seluruh rakyat negara ini dapat menyambut hari lebaran kali ini dengan penuh kegembiraan di samping mereka yang tersayang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor