Pages

Friday, August 23, 2013

KETUA SINDIKET PENIPUAN JUALAN TANAH DITANGKAP



KUANTAN  -  Seorang lelaki dipercayai ‘mastermind’ kumpulan sindiket kes penipuan jualan tanah di beberapa negeri berjaya ditangkap pihak polis pada Selasa lalu kira-kira jam 1 tengah hari.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di Kluang, Johor sebelum diserahkan kepada Kontinjen Pahang berikutan 12 kes penipuan dilakukan di sini membabitkan nilai kerugian RM627,600.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, kumpulan terbabit terdiri daripada empat hingga lima orang yang cuba membuat tawaran untuk menyewa tapak milik mangsa dengan alasan untuk membina bangunan
sarang burung, projek pendawaian elektrik, pembekalan makanan kepada anak yatim dan sebagainya.

“Modus operandi yang digunakan kumpulan terbabit mengajak mangsa menjadi rakan kongsi untuk membeli tanah atau menjual tanah sebelum buat onar seperti menghilangkan diri selepas mangsa memberikan sejumlah wang.

“Kita percaya, mereka bergerak secara kumpulan dan polis turut memburu seorang lagi lelaki untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, semalam.

Sharifuddin berkata, berdasarkan semakan, suspek didapati bukan sahaja terlibat dengan kes penipuan di negeri ini tetapi turut melibatkan Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dari 10 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa dokumen jual beli palsu, buku cek, geran tanah, kad kredit dan telefon bimbit.

Sharifuddin turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati jika didatangi individu yang membuat tawaran sedemikian dan diminta melaporkan kepada pihak polis.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor