Pages

Saturday, August 10, 2013

JANGAN ROSAKKAN UMNO


PUTRAJAYA - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap proses pemilihan parti yang akan berlangsung Oktober ini tidak merosakkan atau menggugat UMNO sebagai sebuah parti terkuat di negara ini.

Tegas Perdana Menteri, sebagai sebuah parti yang telah mengubah perlembagaannya, UMNO kini menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif sehingga ramai yang menawarkan diri untuk bertanding berebut jawatan dalam parti.

Sehubungan itu, Perdana Menteri amat berharap UMNO mendahului parti-parti politik lain dari segi kaedah pemilihannya yang berjalan begitu baik dan bersih serta mencerminkan tahap kematangan yang lebih tinggi daripada mana-mana parti politik lain.

Menjadi satu perkara yang mungkin lebih rancak dari masa-masa yang lalu, tapi apa pun berlaku kita harap ia tidak merosakkan atau menggugat UMNO sebagai sebuah parti yang terkuat.

Kita menjadi parti harapan orang Melayu dan ini yang mesti kita jaga supaya pertandingan dalam parti tidak membawa kepada sebarang gambaran persepsi atau imej negatif terhadap UMNO," katanya dalam temuramah eksklusif bersama Utusan Malaysia di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini.

Ditanya kemungkinan wujudnya politik wang pada pemilihan kali ini, Perdana Menteri berkata, perkembangan itu akan dipantau dan beliau berharap ahli-ahli membuat aduan jika ada pemimpin atau wakil mereka mengamalkan politik wang.

Dengan sistem sekarang ini di mana 150,000 ahli akan memilih pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan tertinggi, menjadi lebih sukar untuk kita menabur wang untuk memperoleh sokongan.

Namun, ini tidak bererti tidak wujud politik wang sama sekali, mungkin ada juga pihak akan guna politik wang dengan harapan boleh mempengaruhi perwakilan," katanya.

Bagaimanapun Najib menegaskan, dengan saiz perwakilan yang lebih besar, kebarangkalian untuk mengubah sesuatu keadaan itu melalui politik wang akan lebih sukar berbanding sebelum ini.

Beliau turut menasihatkan ahli-ahli yang akan terlibat memilih barisan pimpinan baharu agar mematuhi segala peruntukan perlembagaan dan kaedah-kaedah pemilihan serta menjaga imej serta nama baik parti.

Ini penting supaya mereka tidak melihat UMNO sebagai parti yang mementingkan diri sahaja ataupun di mana politik wang menjadi-jadi dalam parti kita. Jadi, kalau kita boleh hindari amalan yang tidak baik ini, amalan negatif, kita boleh menjadikan pemilihan UMNO yang menggunakan perlembagaan baharu sebagai satu manifestasi kematangan parti," katanya.

Ditanya sama ada ahli-ahli parti boleh menerima kaedah baharu pemilihan kali ini, beliau berkata, mereka menerimanya dengan baik namun tumpuan perlu dibuat terhadap cara pengendalian pertandingan dijalankan.

Kita harap tujuan dan semangat itu akan dihayati oleh ahli-ahli UMNO, maknanya kita nak jadikan UMNO itu lebih inklusif, demokratik dan kedua bebas daripada rasuah wang," katanya.

Presiden UMNO itu berharap agar perkara positif itu dapat direalisasikan oleh ahli-ahli UMNO melalui pemilihan kali ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor