Pages

Saturday, August 3, 2013

JANGAN CEROBOH TANAH RAMSAR


BENTONG - Rakyat negeri ini yang menceroboh tanah kerajaan diwartakan untuk kepentingan alam sekitar di kawasan hutan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera akan menghadapi tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri tidak akan membiarkan pencerobohan kerana kawasan itu adalah khazanah negara yang sangat bernilai dari segi pengekalan ekosistem dan sumber biodiversiti.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap sesiapa yang meneroka tanah kerajaan secara haram, malah bukan sahaja tanah Ramsar tetapi semua tanah kerajaan di seluruh negeri Pahang.

"Tanah Ramsar tidak boleh diceroboh sesuka hati kerana mempunyai kepelbagaian khazanah yang amat berharga, baik dari segi tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna, selain menjadi kawasan perlindungan hidupan habitat liar termasuk spesies burung, unggas, ikan dan kawasan tadahan air.

"Hutan ini tidak boleh diceroboh dan kita sudah mengenal pasti dalang dan pihak yang melakukan pencerobohan di kawasan Ramsar dan menunggu sahaja untuk bertindak tegas terhadap pihak terbabit," kata Adnan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri Pelangai di Masjid Sultan Ahmad Shah, Simpang Pelangai di sini semalam.

Beliau mengulas tentang pencerobohan tanah Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan ditanam dengan kelapa sawit oleh mereka tidak bertanggungjawab.

Katanya, kerajaan atau pejabat tanah bukan sengaja membiarkan kawasan itu diteroka haram, tetapi tidak menyedarinya kerana lokasi diceroboh itu berada pada jarak jauh daripada pandangan dan jalan raya.

"Kita telah siasat. Hutan itu kalau dilihat dari jalan raya tidak terusik, rupa-rupanya di tengah telah rongak dan hanya boleh dilihat dengan jelas dari udara.

"Selama ini kita berlembut. Kita fikirkan tempat mereka mencari makan sesuap nasi pagi petang. Rupa-rupanya sekarang ini merupakan satu sindiket untuk memewahkan diri sendirii," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor