Pages

Tuesday, August 13, 2013

DATUK SHAHANIZA TAWAR BERTANDING



MARAN - Pemilihan jawatankuasa Umno Bahagian Maran kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit untuk jawatan kedua tertinggi apabila seorang wanita yang juga muka baru menawarkan diri menentang dua lagi calon orang lama dalam parti.

Isu gender dan orang baru hebat diperkatakan dalam kalangan ahli dengan masing-masing mempunyai pilihan tersendiri sama ada mahu mengekalkan tradisi atau melakukan satu perubahan ke arah mentransformasikan jawatankuasa tersebut.

Wanita yang dimaksudkan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia yang juga Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Pada penggal ini, beliau hanya sebagai ahli jawatankuasa biasa dalam Umno bahagian melalui lantikan selepas menyandang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian dari 2001 hingga 2008.

Beliau juga pernah bertanding Ketua Puteri Umno Malaysia pada 2008, namun tewas kepada Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Shahaniza yang memegang Exco Pahang dilihat mempunyai kelebihan tersendiri selain rekod cemerlang perkhidmatan sebagai Adun Kuala Sentul selama dua penggal dengan majoriti besar pada PRU13 lalu.

Ubah tradisi

Difahamkan, Shahaniza pernah memuat naik status di laman sosial facebook miliknya berhubung keinginan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian pada pemilihan kali ini.

Ia sekali gus mengubah tradisi apabila sebelum ini tiada pemimpin wanita yang berani menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Malah lebih merancakkan pemilihan nanti, beliau bakal berhadapan dua pemimpin lelaki yang merupakan orang lama dalam jawatankuasa bahagian untuk beberapa penggal terdahulu.

Perkhabaran kuat mengatakan dua calon itu adalah Ketua Penerangan Umno Bahagian Maran, Saiful Azman Mokhtar dan seorang ahli jawatankuasa bahagian.

Namun perkhabaran itu boleh berubah bila-bila masa memandangkan tempoh masa yang ada menjelang pemilihan sehingga Oktober ini dengan pelbagai spekulasi yang timbul di saat akhir nanti.

Sementara itu, spekulasi turut mengatakan Adun Chenor, Mohamad Ariffin Awang Ismail bakal menawarkan diri untuk jawatan Naib Ketua Umno Bahagian yang kini disandang bekas Adun Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil.

Bertanding cara sihat

Sesiapa sahaja ahli Umno yang merasakan mereka mempunyai kelayakan dan ingin terus memberi khidmat kepada Umno berhak untuk menawarkan diri bertanding pada pemilihan jawatankuasa sama ada di peringkat cawangan atau bahagian.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, tiada halangan untuk mana-mana ahli yang ingin bertanding  jawatan dalam pemilihan parti sesuai dengan demokrasi yang diamalkan parti itu sejak sekian lama.

Menurutnya, individu yang bakal menawarkan diri nanti perlu meletakkan hasrat untuk membantu kepimpinan bagi mengukuhkan parti di peringkat akar umbi.

“Bukan hak kita menidakkan orang lain, tetapi kita tahu jika ada pertandingan, yang menang itu baik, tetapi jika berlaku perpecahan maka akan melemahkan parti.

“Kalau bertanding secara sihat dan bebas tidak mengapa, jadi ahli perlu bijak memilih tanpa mewujudkan sebarang suasana dingin kerana kita semua dalam satu parti," katanya.

Utamakan perpaduan
Kata Ismail, apa yang lebih penting pada masa ini adalah semua pihak mengutamakan penyatuan dan perpaduan parti terutama di peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Maran enggan mengulas lanjut mengenai jawatan yang bakal beliau tanding pada pemilihan bahagian nanti.

Ismail berkata, Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mampu melaksana pelbagai transformasi dan perubahan sejajar dengan kehendak semasa sesuai dengan kematangannya.

 Menurutnya, Umno melakukan pelbagai perubahan termasuk dalam pemilihan akan datang yang menyaksikan tiada sebarang sekatan kepada sesiapa sahaja dalam pemilihan parti.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting bagi Umno adalah memperkuat parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor