Pages

Saturday, July 20, 2013

TASIK BERA DICEROBOH


BERA 19 Julai - Kawasan Ramsar atau tanah lembap yang terdapat di sekitar Tasik Bera di sini kini terancam apabila diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan membuka ladang kelapa sawit tanpa sebarang kawalan dan penguatkuasaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 400 hektar tanah berhampiran itu digondol oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menggantikan tanaman kelapa sawit.

Tindakan tersebut telah memusnahkan pelbagai jenis pokok kayu yang sangat bernilai, hampir dua tahun lalu.

Penduduk yang tinggal berhampiran tasik itu hairan bagaimana hutan tersebut yang diisytiharkan sebagai kawasan tanah lembap pada 1994 menerusi Konvensyen Ramsar Mengenai Tanah Lembap Antarabangsa diceroboh tanpa disedari pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Mohamed Jidi Yaakob, 55, berkata, dia pelik bagaimana kawasan meliputi seluas 6,150 hektar itu mudah dicerobohi sedangkan terdapat kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengawasi Tasik Bera serta tanah Ramsar daripada sebarang pencerobohan.

"Sebelum ini, kalau ada penduduk menebang pokok kecil untuk membuat kayu pagar, pihak terbabit cepat mengambil tindakan tetapi pelik bagaimana mereka (pihak berkuasa) tidak menyedari hutan ini ditebang dengan begitu rakus dengan meliputi kawasan luas.

"Kalau kita lihat kesan yang ada tentu penerokaan hutan ini mengambil masa lama untuk membersihkan pokok berusia ratusan tahun dan sudah pasti menggunakan jentera berat yang mudah dikesan pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi peneroka Felda Tementi, Mohd. Zaid Omar, 60, memberitahu, pencerobohan tersebut bukan sahaja memusnahkan nilai hutan yang begitu berharga dari segi biodiversiti tetapi mengancam ekosistem serta habitat haiwan di dalamnya.

''Keadaan itu menyebabkan kehidupan 4,000 Orang Asli suku kaum Semelai di 14 kampung yang tinggal sekitar tasik itu kini merasa terancam atas penerokaan haram tersebut," katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Mokhtar Mohamed, 56, berkata, pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat kerana kawasan penerokaan itu hanya 2 kilometer dari Tasik Bera.

"Saya difahamkan oleh pekerja yang meneroka tanah tersebut bahawa kawasan itu diusahakan oleh beberapa penduduk dari Triang yang mendapat pembiayaan daripada anak-anak serta ahli keluarga mereka yang bekerja di negara jiran.

"Jika tiada tindakan tegas diambil bukan sahaja akan mengancam ekosistem tetapi turut memusnahkan kawasan tadahan air. Secara tidak langsung, pengisytiharan Tasik Bera sebagai kawasan tanah lembap tidak membawa sebarang makna," katanya.

1 comment:

  1. niiihh mesti ada salahguna kuasa oleh mane2 individu atau kumpulan.bako jerrrr ( pokok , kenderaaan , pekerja , sesiapa atau bende yg terbabit dgn kawasan tuu )

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor