TENGKU Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariahmembaca doa khatam Quran |
MARAN - Lebih 2,000 wanita seluruh Pahang hadir menyertai majlis tadarus al-Quran wanita peringkat negeri yang diadakan di Dewan Indera Segara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Jengka di sini.
Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Cik Puan Pahang Cik Julita Aishah Abdul Latif turut berkenan menyertai majlis yang dianjurkan buat kali keenam itu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin dan anggota Parlimen Maran Datuk Ismail Abdul Mutalib.
Tunku Azizah dalam titahnya menyeru wanita Islam supaya sentiasa mengambil pendekatan memahami, menghayati serta mengamalkan kandungan al-Quran.
"Saya sentiasa yakin, percaya dan sangat optimis jika umat Islam benar-benar serius serta komited untuk menjadi umat yang perkasa, umat yang menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran, maka hendaklah sentiasa mengamalkan tadarus al-Quran.
"Justeru, saya menyeru semua pihak agar berusaha memahami kandungan al-Quran dengan sebaik-baiknya dan menjalani kehidupan seharian berpandukan al-Quran," titah baginda.
Menurut baginda sekiranya sekadar bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran, ia akan membawa kepada penyakit yang merosakkan keperibadian Muslim. - Bernama
Terbaik !
ReplyDelete