Pages

Monday, June 17, 2013

TAWAN IKAN TAPAH GERGASI DI PAHANG

PEKAN - “Dengan menggunakan kudrat yang ada, saya bertarung selama lebih dua jam sebelum menewaskan tapah gergasi ini,” kata Zulkifli Abidin, 36, dari FELCRA Seri Makmur, di sini, yang menewaskan ikan tapah gergasi seberat 78 kilogram ketika memancing di Kuala Sungai Lengkur, Pekan, pagi kelmarin.

Menurutnya, sepanjang bertarung dengan tapah sepanjang dua meter itu apa yang terlintas di kepalanya hanya kemungkinan bot gentian kaca dinaiki terbalik serta tali tangsi memiliki kekuatan 20 paun itu putus sekali gus bakal membuatkannya berputih mata.

Zulkifli berkata, dia tidak menyangka rutin hariannya keluar ke sungai mencari rezeki pada jam 7.30 pagi kelmarin membuahkan hasil lumayan apabila ikan berkenaan berjaya dijual pada harga RM1,500 kepada seorang peraih di Temerloh.

“Seperti biasa, saya keluar memancing seorang diri dengan bot gentian kaca sepanjang lima meter sebelum melabuhkan joran di kuala sungai yang bersambung dengan Sungai Pahang itu.

“Saya melemparkan gewang beberapa kali sebelum disambar ikan berkenaan yang terlebih dulu melompat lalu merentap dengan kuat mengakibatkan joran di tangan hampir terlepas.

“Ketika itu saya sudah tahu ia spesies tapah, namun tidak menyangka saiznya sebesar itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, ikan tapah gergasi itu sukar dijinakkan dan beberapa kali menarik botnya ke tengah dan tepi sungai sekali gus menimbulkan rasa bimbang.

“Bagaimana kita menarik kerbau untuk disembelih, itu yang saya boleh katakan keadaan saya ketika ‘bertarung’ dengan ikan ini,” katanya yang sudah lima tahun menjadi nelayan sungai.

Katanya, dia cuba mengikut tarikan ikan berkenaan sambil tidak mahu melawan atau menyentap joran kerana dikhuatiri boleh menyebabkan talinya putus.

“Walaupun agresif, saya cuba ‘bermain’ dengannya dengan membawanya ke tebing sungai.

“Selepas ikan itu menghampiri tebing, saya melompat turun dari bot dan berjaya mengikat mulutnya menggunakan tali sebelum cuba mengangkatnya ke dalam bot,” katanya.

Zulkifli berkata, dia terus pulang ke rumah dengan membawa ikan berkenaan menaiki keretanya sebelum memaklumkan berita gembira itu kepada isterinya, Noriah Mohd Yunus, 29.

“Sebelum ini, saya pernah mendaratkan ikan tapah dengan saiz sekitar 10 ke 30 kg di sungai ini namun tangkapan kali ini amat mengejutkan sehingga turut menggemparkan penduduk kampung”.

2 comments:

  1. maka kan pupus dengan cepat Ikan Tapah ini di Pahang bila InDUK baka UTAMA yg besar di HAPUSKAN oleh manusia.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor