Pahang memang terkenal kaya dengan hutan khatulistiwa malah ribuan spesies tumbuh-tumbuhan dan herba di hutan itu banyak keistimewaannya yang belum diterokai.
Sebut sahaja ratusan herba yang mampu memberi inovasi dalam bidang peruba-tan dan kecantikan, pasti ada di dalam hutan negeri ini namun tidak ramai generasi kini yang menyedarinya.
Justeru Nor Aziah Othman mengambil inisiatif menjadikan hutan Pahang sebagai ‘pembuka idea’ untuk berkongsi kecantikan dengan masyarakat terutama wanita untuk tampil sihat, cantik dan kekal bahagia.
Beliau menggunakan sepenuh ilmu herba yang dipelajari dari arwah neneknya, Siti Mariam Ismail selain adaptasi dari nusantara bagi melahirkan bahan istimewa khusus untuk pencinta kecantikan yang menggunakan bahan alami.
“Sudah lama kita ‘menyimpan’ hasil hutan yang sangat banyak manfaatnya dalam bidang kesihatan dan kecantikan. Jadi saya bercadang mahu memperkenalkan kepada orang ramai bagaimana herba dan hasil hutan ini boleh memberi faedah kepada mereka,” katanya.
Nor Aziah berharap dapat bekerjasama dengan Pejabat Pelancongan negeri dan Tourism Pahang yang menjadi orang tengah antara masyarakat dan pelancong.
Katanya, sehingga kini, tidak ramai pelancong yang diperkenalkan dengan produk mentah Pahang sebaliknya golongan itu hanya mengenali makanan, tenunan Pahang dan tempat menarik di sini.
“Saya cadangkan kerajaan negeri memasukkan juga dalam kalendar lawatan pelancong ke spa yang menghasilkan rawa-tan tradisional dari khazanah hutan Pahang supaya mereka lebih mengenali fungsi dan keistimewaannya,” katanya.
Sebagai pencinta hasil hutan, Nor Aziah mahu menunjukkan cara memproses produk kecantikan secara tradisional dan tidak dicampurkan dengan bahan awet lain sekali gus sangat semula jadi dan sesuai untuk semua.
Tidak hairanlah spanya dilengkapi dengan periuk besar untuk merebus akar kayu dan herba.
“Mereka boleh melihat sendiri cara kami memproses akar kayu untuk dijadikan produk kecantikan dan kesihatan sesuai untuk golongan yang mementingkan penjagaan kecantikan,” katanya.
Nor Aziah kini mengusahakan sebuah pusat kecantikan berasaskan herba dan hasil hutan negeri ini di Indera Mahkota untuk semua golongan termasuk ibu bersalin, remaja dan mereka yang mengalami masalah kewanitaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor