Pages

Thursday, June 13, 2013

PENDUDUK BIMBANG SUNGAI TERCEMAR


BENTONG – Perubahan warna air Sungai Lebu yang menjadi hitam-kehitaman menyebabkan penduduk tidak selesa kerana bimbang sungai itu tercemar dengan bahan tidak sepatutnya.

Penduduk, Rosdi Majid, 50, berkata, perubahan dapat dilihat lebih kurang dua hari lalu.

Menurutnya, sungai itu bukan sahaja bertukar warna menjadi kehitaman, tetapi juga terdapat kesan tompokan minyak.

“Saya cukup sedih melihat keadaan itu memandangkan air sungai ini masih digunakan penduduk walaupun mempunyai bekalan air paip.

“Saya sendiri biasa mandi bersama keluarga di sini, malah ada penduduk menggunakannya untuk minum memandangkan air itu mengalir dari bukit berhampiran,” katanya.

Rosdi berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan memandangkan Sungai Lebu menjadi sebahagian daripada keperluan penduduk setempat.

Pencemaran beri kesan

Seorang lagi penduduk, Mohd Rosmiha Zainal Abidin, 41, berkata, pencemaran sungai itu dipercayai berpunca daripada kilang berhampiran.

Namun katanya, penduduk tidak mahu membuat tuduhan melulu, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan JPS untuk menjalankan siasatan.

“Kami harap perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum bertambah teruk kerana keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada hidupan air, tetapi juga penduduk setempat,” katanya.

Mohd Rosmiha berkata, ada sebilangan penduduk turut mengail di situ bagi menambah pendapatan kerana terdapat pelbagai jenis ikan termasuk siput sedut dan lampam di dalam sungai itu.

“Jika keadaan berterusan, sudah pasti memberi kesan besar. Tambahan pula, sungai merupakan khazanah alam perlu dijaga.

“Sebagai penduduk, keadaan ini merisaukan kami kerana sudah pasti sungai yang ada akan ‘mati’,” katanya.

Kesal sikap pihak kilang

Pengerusi JKKK Lebu, Uyop Sulaiman berkata, pihaknya kesal berhubung perkara itu dan berharap pihak terbabit tidak melepaskan sisa kilang ke dalam sungai itu lagi.

“Pencemaran sungai menyebabkan penduduk rugi terutama bagi mereka yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan,” katanya.

Akan jalankan siasatan
Bagi Jurutera JPS Daerah, Mohamad Kamal Ridzuan Kamaruddin pula, pihaknya menerima aduan daripada penduduk berhubung perkara itu.

Menurutnya, siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti punca pencemaran sama ada daripada kilang, kediaman atau sebagainya.

Katanya, kemudiannya tindakan akan diambil termasuk bekerjasama dengan Jas untuk tindakan seterusnya kerana membabitkan kualiti air.

“Kami pada masa sama akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor