Pages

Tuesday, May 21, 2013

Yakin Exco Baru Mampu Beri Khidmat Terbaik


KUANTAN - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata lima muka baharu yang dilantik anggota Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata mereka diberikan portfolio yang mereka mempunyai pengalaman luas.

"Semua ada pengalaman yang luas. Sebagai contohnya Datuk Burn (Abu Bakar Harun). Beliau dah berapa lama dalam Felda, tahu apa yang dimahukan oleh peneroka. Datuk Shahaniza (Shamsuddin), yang memegang portfolio pembangunan wanita, mempunyai pengalaman luas sebagai Puteri Umno.

"Begitu juga Syed Ibrahim (Syed Ahmad), yang memegang portfolio dakwah, bertahun-tahun berpengalaman sebagai penceramah bebas," katanya.

Dua lagi muka baru ialah Datuk Mohd Johari Hussain yang memegang portfolio Belia dan Sukan dan Norol Azali Sulaiman, portfolio Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas.

Mengenai peningkatan wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, Adnan berkata kerajaan negeri yang diwakili oleh Barisan Nasional tidak tergugat dengan keadaan itu.

"Situasi ini pernah berlaku sebelum ini. Apa yang penting kita (kerajaan negeri) dapat menjalankan tugas kita dengan baik kepada rakyat," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor