Pages

Wednesday, May 29, 2013

Stadium Darul Makmur Pecah Dirempuh Penyokong


KUANTAN - Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur di sini, semalam terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada empat pintu masuk utama stadium yang dipecahkan menyebabkan penonton menyerbu ke dalam stadium.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah terpaksa ditempatkan di trek olahraga stadium tersebut bermula pukul 8.30 malam sebelum kedudukan mereka disusun semula.

Dalam pada itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) segera menghampiri para penyokong tersebut bagi memastikan keadaan terkawal sepenuhnya.

Serentak dengan itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berkenan mencemar duli selama 10 minit turun trek olahraga untuk meminta kerjasama para penyokong supaya mengawal disiplin.

Sesudah selesai, Sultan Ahmad Shah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain kemudian kembali ke tempat duduk utama sambil menunjukkan isyarat tangan kepada para penyokong supaya menjaga kelakuan masing-masing.


Sehingga pukul 9.45 malam, kesemua penyokong yang membanjiri trek olahraga kemudian ditempatkan semula ke kawasan tempat duduk dalam keadaan terkawal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff yang berada di stadium kemudian membuat pengumuman bahawa permainan boleh diteruskan selepas keadaan terkawal sepenuhnya.

Sebaik pengumuman itu dibuat, kelibat semua pemain tuan rumah kemudian memasuki padang untuk bersedia memulakan perlawanan, namun pemain Johor DT tidak berbuat demikian.

Keadaan bagaimanapun masih tidak terkawal sepenuhnya apabila beberapa kali dicemari bunyi mercun dan balingan botol minuman ke kawasan padang.

Kemudian, para penyokong Johor DT pula bertindak turun dan duduk di trek olahraga meskipun kawasan balapan itu telah diarah untuk dikosongkan bagi membolehkan perlawanan dimulakan.


Perbuatan berbaur provokasi itu kemudian disambut oleh penyokong tuan rumah dengan menyanyikan lagu 1Malaysia.

Pada pukul 10.30 malam, Penolong Setiausaha FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat pengumuman bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Menurut Fuad, stadium berkenaan dapat memuatkan 35, 000 dalam satu masa dan tiket terjual adalah 32,000 keping. Justeru, beliau menolak ada berlaku penjualan tiket palsu yang menyebabkan insiden limpahan penonton malam semalam.

Polis turut mengesahkan beberapa penonton mengalami kecederaan ringan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

1 comment:

  1. Sudah sampai masa stadium khas utk bola (tanpa trek) di buat di Pahang ni. Cadangan yang dibuat untuk membuatnya di daerah temerloh (di kawasan bypass Tloh-Mtkb)sangat dialu-alukan segera pembinaannya. Lokasi yang amat sesuai di tengah-tengah negeri Pahang. Adil utk semua peminat. Juga boleh mengatasi kesesakan teruk di ibu negeri setiap kali ada acara di stadium.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor