Pages
▼
Saturday, May 11, 2013
SPR Bakal Saman Anwar ?
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan jenayah demokrasi apabila didakwa mengajar rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad lalu.
Katanya, Anwar secara jelas menggunakan demokrasi sebagai platform untuk menjahanamkan masa depan negara, paling menyedihkan apabila beliau menanamkan sikap buruk itu dalam kalangan generasi muda yang belum layak mengundi.
''Saya difahamkan ada anak muda yang datang ke perhimpunan haram di Kelana Jaya Rabu lalu, masih belum layak mengundi dan tidak faham tentang undang-undang pilihan raya.
''Tetapi Anwar telah merosakkan pemikiran mereka dengan membuat pelbagai tuduhan jahat, fitnah yang amat dahsyat sehingga merosakkan amalan demokrasi di negara ini,'' katanya.
Sambil menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab, Wan Ahmad berkata, tindak-tanduk seumpama itu juga akan mencacatkan kesinambungan amalan demokrasi di Malaysia selain mendidik generasi muda supaya membelakangkan undang-undang sekali gus menentang Perlembagaan Negara yang memperuntukkan keluhuran undang-undang sebagai salah satu elemen penting.
Beliau yang kesal dengan sikap buruk Anwar itu juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua pembangkang itu kerana melakukan fitnah yang melampau terhadap SPR dengan pelbagai dakwaan palsu berniat jahat untuk mengelirukan rakyat Malaysia.
Wan Ahmad turut melahirkan kebimbangan tentang masa depan generasi muda kerana pemikiran mereka terlalu mudah meresap dakyah-dakyah jahat Anwar dan pembangkang sehingga akhirnya membentuk satu generasi yang tidak percaya kepada demokrasi tulen.
''Generasi ini akan percaya bahawa penganjuran perhimpunan haram, penyebaran fitnah tanpa batasan dan tuduhan-tuduhan jahat adalah amalan demokrasi yang perlu dijunjung. Mereka terpengaruh dengan dakyah Anwar yang hakikatnya bertujuan menghancurkan masa depan negara serta merosakkan sistem yang telah diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan,'' katanya.
Katanya, akibat terlalu obses mahu menjadi Perdana Menteri, Anwar menjadi manusia tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menganjurkan siri perhimpunan yang bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam malah merosakkan pemikiran rakyat, justeru beliau selayaknya digelar penjenayah demokrasi kerana membunuh sistem yang telah menyebabkan kerusi dimenangi pakatan pembangkang bertambah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor