Pages
▼
Friday, May 31, 2013
Rita Rudani - Nafi Skandal Datuk S
BARU-baru ini berkeliaran gosip melibatkan pelakon jelita, Rita Rudaini yang dikatakan kini ditaja oleh seorang lelaki berpangkat Datuk.
Semuanya bermula selepas Rita mengeluarkan sebuah produk RS Collagen yang menyebabkan banyak pihak membuat andaian bahawa abjad S itu merujuk kepada pangkal nama Datuk yang menajanya.
Berkesempatan bertemu empunya badan pada Majlis Ulang Tahun Mustika HD Astro yang diadakan di AEON, Bukit Tinggi, Klang, Rita menafikan khabar angin yang berkeliaran itu.
Menurutnya, khabar angin yang mengatakan dia bersama Datuk S adalah tidak benar sama sekali kerana S itu sebenarnya adalah rakan kepadanya.
Menjelaskan lagi perkara ini, ujar Rita, Datuk S itu sebenarnya adalah rakan baiknya iaitu Saleha yang juga rakan niaga dalam perniagaan produk kecantikannya.
"Sebenarnya, nama RS Collagen itu adalah gabungan nama saya, Rita dan Saleha. Bukan nama pangkal Datuk S.
"Saya dan Saleha merupakan rakan niaga untuk produk ini dan kami fikir, tidak salahnya jika kami mencantumkan nama untuk produk kami," jelasnya.
Ketika ditanya mengapa dia dikaitkan dengan hubungan melibatkan lelaki berpangkat Datuk, ujarnya, dia berpendapat statusnya kini yang menguatkan lagi fitnah itu.
"Mungkin sebab status saya kini yang menyebabkan timbul pelbagai cerita yang kurang enak.
"Apatah lagi dengan keadaan saya sekarang, tiba-tiba mengeluarkan produk kecantikan terus dikaitkan dengan lelaki berpangkat Datuk," ujarnya.
Jelasnya lagi, buat masa ini, dia lebih selesa untuk tidak terlalu melayan gosip-gosip mengenai dirinya sebaliknya fokus pada kerjayanya.
"Biarlah apa orang hendak kata tentang saya kerana yang penting, tumpuan saya kini kepada kerjaya dan serta perniagaan saya yang semakin mendapat sambutan," ujarnya.
Niaga
Berbicara mengenai perniagaannya, jelas Rita, dia bersyukur kerana produk kecantikannya kini mendapat sambutan yang sangat baik daripada peminatnya.
Malah, bilangan produk yang terjual juga meningkat secara mendadak saban hari, sekali gus menguatkan semangat untuk meneruskan perniagaan ini.
"Produk ini dipasarkan secara online dan tidak tertumpu kepada satu-satu kawasan sahaja.
"Asas kita untuk produk ini adalah daripada produk tradisional dan saya sendiri sudah mencuba dan buktinya ternyata sangat baik untuk kulit," jelasnya.
Tambahnya lagi, ketika sesi permulaan, hanya 10 set sahaja yang ditawarkan ketika itu, kini permintaan sudah mencecah sehingga 100 set.
"Saya bekerja dua orang sahaja dengan Saleha. Untuk memenuhi permintaan juga agak susah tetapi mungkin akan cuba untuk dapatkan pekerja,' jelasnya.
Ketika diajukan tentang rancangan untuk membuka kedai, jelasnya, buat masa ini, perancangan untuk membuka kedai belum lagi dirancang.
"Buat masa ini kita belum merancang apa-apa lagi, sebaliknya hanya mahu fokus pada perniagaan secara online dahulu.
"Selain online, kita juga mencari ejen yang boleh memasarkan produk ini untuk meluaskan lagi sasaran pengguna untuk produk kecantikan ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor