Pages

Friday, May 24, 2013

Lagi Kezaliman AirAsia Didedah - Jemaah Umrah Dianiaya

Sekumpulan jemaah umrah kecewa apabila syarikat penerbangan murah AirAsia X didakwa membatalkan jadual penerbangan untuk kembali ke tanah air atas alasan 'sebab komersial'.

Penumpang yang mewakili kumpulan umrah tersebut, Mansor Abu Bakar berkata, kejadian itu berlaku semasa keluarganya seramai 11 orang menunaikan umrah dengan menaiki AirAsia X pada 30 Mac dan sepatutnya pulang pada 13 April lalu.

''Kami sepatutnya pulang 13 April lalu tetapi dimaklumkan penerbangan itu telah dibatalkan dan ditawarkan dua pilihan iaitu sama ada balik awal pada 9 April atau lebih lewat pada 16 April,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan masalah kepadanya dan 10 lagi ahli keluarganya termasuk seorang yang uzur selain dua bayi, masing-masingnya berusia tiga bulan dan dua tahun.


''Pembatalan itu juga hanya dimaklumkan melalui e-mel yang dikeluarkan atas nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Azran Osman-Rani dan alasan pembatalan ialah 'sebab komersial', tanpa penjelasan lanjut yang dilihat tidak munasabah.

''Nasib baik saya dapat menyemak e-mel, jika mereka yang tidak ada kemudahan internet bagaimana?,'' katanya.

Menurutnya, tawaran AirAsia X itu juga menimbulkan masalah kepada mereka iaitu sama ada mahu menanggung kerugian atau terpaksa menambah lagi kos berada di tanah suci itu.

"Jika balik penerbangan awal, bermakna kami rugi dari segi bayaran hotel dan makanan yang telah dibayar awal-awal lagi kepada pihak di Mekah dan jika balik pada 16 April pula, kami terpaksa bayar lebih untuk hotel dan makanan selama empat hari tiga malam," katanya.

Sabtu lalu, AirAsia juga menjadi kritikan ramai ekoran insiden malang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan bayinya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan yang dilarang kakitangan AirAsia menaiki pesawat AK 1455 di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam.

Tambah Mansor, AsiaAsia X juga tidak memberikan sebarang pampasan ekoran pembatalan itu kerana perkara tersebut dikatakan terkandung dalam terma dan syarat pembelian tiket dan jika mereka ada membeli insurans disuruh membuat tuntutan dengan syarikat berkenaan.

''Kami sekeluarga telah merayu kepada AirAsia X untuk memberi ganti rugi untuk hotel tetapi tidak dihiraukan langsung.

''Saya terpaksa mengeluarkan kira-kira RM15,000 untuk menampung kos penginapan dan perbelanjaan bagi hari yang terpaksa ditambah,'' katanya. - Sumber

2 comments:

  1. naik MAS, pengalaman saya ketika delay flight akibat maslah teknikal, kami diberi penginapan hotel 4 bintang dan dilayan dengan penuh komitmen dan mesra ketika menunaikan umrah tahun lalu.. ramai peserta sehingga lebih 10 buah bas yang menginap di hotel tersebut. tq MAS

    ReplyDelete
  2. saya juga bersetuju apabila saya pulang dari jepun (narita) pada 2002 akibat masalah teknikal pesawat, kami dibawa menginap di hotel 5 star dengan bas(untuk berehat), saya dapat sebilik seorang walaupun pertukaran pesawat adalah dalam 12 jam... memang memuaskan, tahniah MAS dan saya takkan lupakan peristiwa pahit beberapa kali bersama Air asia..

    3oct2012 saya sepatutnya naik pesawat AK127 ke singapore jam 6:15am dari LCCT, saya check in sebelum jam 4:30, akibat dari kesilapan staf memberikan maklumat gate kebiasaan nya pagi gate Y2 utk perlepasan antarabangsa , saya tidak dibenarkan masuk dan urusan pembatalan, kastam etc amat mengecewakan.. mereka kata sudah membuat penguguman? alasan mudah untuk melepaskan diri kerana saya jenis yang sentiasa bersedia dan tidak akan tenang selagi tidak dapat menaiki pesawat walaupun hampir setiap minggu saya menggunakan pesawat atas urusan kerja... terpaksa membeli ticket lain tanpa ada discount.. perkara sama pernah berlaku di changi.. air asia....

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor