Pages

Monday, May 20, 2013

Balai Bomba Tambahan Di Pahang


KUANTAN - Sebanyak 40 balai bomba tambahan akan dibina di seluruh negeri ini menjelang 2015 bagi memastikan tempoh maklum balas terhadap setiap aduan diterima dapat dipendekkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penambahan itu akan dibina secara berperingkat-peringkat terutama di kawasan luar bandar dan pekan kecil.

"Sebelum ini kita berdepan masalah untuk tiba di lokasi kebakaran akibat jaraknya yang jauh dari balai bomba sedia ada. Bagi memastikan operasi di setiap anggota bomba berjalan lancar, kita akan tempatkan pegawai terlatih untuk menyelia semua urusan dan pengendalian setiap aduan diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Nazili Mahmood.

Abdul Wahab berkata, semua balai bomba berkenaan akan dilengkapkan dengan peralatan kebombaan asas seperti pam angkut, hose, nozzle dan kenderaan volunteer fire response vehicle (VFRV), bergantung kepada peruntukan diterima.

Tambahnya, latihan berterusan akan disediakan kepada anggota bomba sukarela yang ditempatkan di balai berkenaan supaya mereka terlatih dalam memadamkan kebakaran atau kejadian tertentu yang lain.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya menyelamatkan sejumlah RM1.7 bilion harta benda sepanjang tahun lalu, meningkat 22 peratus berbanding 2011.

"Jumlah kerugian akibat kebakaran mencatatkan penurunan lapan peratus iaitu RM26.5 juta, berbanding RM31.4 juta pada 2011.

"Sepanjang tahun lalu, kita terima 1,639 panggilan menyelamat termasuk membantu mangsa kemalangan jalan raya dan mencari mangsa lemas," katanya.

Abdul Wahab berkata, selain itu, pihaknya menerima sebanyak 135 panggilan tugas khas seperti menangkap ular, membantu pembikinan filem dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor