Pages

Tuesday, May 28, 2013

Ainan Tasneem Semakin Popular


PASTI ramai di antara kita pernah bercita-cita untuk bergelar penyanyi. Walaupun kehidupan di sebalik kerjaya tersebut bukanlah indah semata-mata kerana setiap perlakuan baik atau buruk akan menjadi bualan dan bicara orang ramai.

Begitu juga yang berlaku terhadap penyanyi yang mula dikenali menerusi laman perkongsian video, YouTube, Ainan Tasneem yang kini berusia 21 tahun.

Jelasnya, setelah menceburi bidang seni sebagai penyanyi sejak November 2011, kehidupannya banyak berubah.

"Jika dahulu setiap tindak tanduk saya tidak pernah diperhatikan orang ramai, tetapi kini tidak lagi.

"Apa sahaja yang dilakukan, baik perbuatan mahu pun tutur kata harus dijaga. Saya bersyukur, setelah setahun lebih berada dalam bidang ini, saya semakin serasi dengan kehidupan tersebut," katanya yang ditemui sewaktu majlis pelancaran aplikasi TV Tonton untuk pengguna televisyen pintar jenama Samsung, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia itu, perkara yang paling menggembirakan dirinya setelah bergelar penyanyi adalah mampu membantu keluarga dan adik-beradik, terutamanya daripada segi kewangan.

"Jika sebelum ini kami adik beradik banyak bergantung kepada ibu bapa sahaja, tetapi kini saya juga dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

"Jadi penyanyi, banyak kelebihan yang kita dapat," katanya yang juga merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Bio-Proses di Universiti Malaysia Perlis.

Berbicara soal kerjaya seni, Ainan mengakui pihaknya kini sedang dalam proses menyiapkan album penuh yang mengandungi 10 buah lagu dan dijangka mula berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Antara lagu yang terkandung dalam album itu nanti termasuklah Aku Suka Kamu, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku, Aku Keliru dan 150 Juta.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor