Pages
▼
Monday, April 1, 2013
Fauzi Dan Anwar Diejek Pengikut Sendiri
Kuantan - Ejekan dan jeritan "boo" bergema sebaik sahaja nama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman diumumkan sebagai calon yang akan mewakili parti itu di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Walaupun Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mengumumkan pemilihan Fauzi pada ceramah di Balok Makmur di sini malam tadi, namun kumpulan penyokong berkenaan terus melaungkan ejekan menunjukkan bantahan mereka kerana penyandang, Azan Ismail tidak dikekalkan di kerusi berkenaan.
Kumpulan penyokong tersebut turut tidak menghiraukan Ketua Pembangkang itu yang masih belum menamatkan ucapannya sebaliknya terus menjerit boo dan melaungkan beberapa kali "Kami mahu Azan" dan "Boo Datuk Fauzi".
Bukan setakat itu, kumpulan penyokong itu juga jelas memalukan Anwar apabila bertindak meninggalkan program ceramah tersebut.
Protes terbuka itu turut menyebabkan Anwar terganggu seketika dalam ucapannya sebanyak dua kali sewaktu hendak memperkenalkan latar belakang Fauzi sebagai kenalan lama beliau sejak di bangku sekolah.
Sebelum mengumumkan nama Fauzi, Anwar seperti cuba menenangkan kumpulan penyokong Azan apabila memaklumkan Ahli Parlimen Indera Mahkota yang sekarang memimpin PKR Terengganu bakal diberikan kerusi bertanding di negeri itu.
Selain dimalukan dengan protes kumpulan berkenaan, pengumuman Fauzi sebagai calon di Indera Mahkota juga tidak mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang mengikuti ceramah itu malam tadi.
Sementara itu, Azan yang meninggalkan program ceramah tersebut ketika Fauzi sedang berucap enggan memberikan sebarang reaksi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor