Bekas Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk
Seri Zaini Mohd. Said mendakwa pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah merupakan
permulaan untuk mengucar-kacirkan negara, yang cuba dicetuskan pihak tertentu
demi kepentingan tertentu.
Sehubungan itu kata
beliau, perkembangan terbaru ini akan memberi impak kepada politik, ekonomi,
sosial dan aspek keselamatan jika pihak berkuasa tidak menangani dengan segera
dan leka.
Beliau juga berkata, perkembangan di Sabah itu memberi
gambaran akan ada perkara lebih besar, yang cuba digerakkan oleh pihak tertentu
untuk menggugat negara, seakan peristiwa Al-Maunah lebih satu dekad lalu.
"Ini adalah permulaan untuk mengucar-kacirkan negara
dan memberi impak kepada ekonomi, politik, sosial dan sudah semestinya keamanan
negara.
"Dari segi politiknya, mesti ada orang belakang di
sebalik penceroboh ini, kita tengok mereka memang tidak mampu untuk bergerak
sendiri, Sultan Kiram yang didakwanya juga mengakui miskin. jadi bagaimana
mampu mereka bergerak sendiri," kata beliau pada sidang media selepas
menyampaikan ceramah bertajuk Dalang Pengganas Lahad Datu Ancaman Keselamatan
Negara, di sini malam tadi.
Difahamkan, kemungkinan dalang tersebut adalah kuasa ketiga
yang ingin merampas negara atau dipergunakan untuk kepentingan tertentu.
Sebelum ini, beberapa pihak mengaitkan pemimpin Pakatan
Rakyat dengan insiden tersebut.
Sehubungan itu, kemungkinan dalangnya juga mungkin berada
dalam negara demi kepentingan politik.
Dalam pada itu, Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lam Yong
mendakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang menjadi perhatian negara
tahun lalu, membiayai AS$2 juta (RM6 juta) kepada kumpulan penceroboh dari Sulu
bagi menceroboh Sabah.
Menurutnya lagi, bantuan kewangan daripada NGO kepada kumpulan
penceroboh dari Filipina itu disahkan oleh rakannya dari Manila.
"Saya terima e-mel dari rakan saya yang berada di
Manila hari ini, isi kandungan e-mel itu memberi tahu bahawa kejadian di Lahad
Datu itu dibiayai oleh sebuah NGO dari Malaysia dan telah menyalurkan AS$2 juta
untuk tujuan pencerobohan," kata beliau pada ceramah tersebut.
Oleh itu kata Lam Yong, yang juga antara bekas pengasas PKR,
tidak mustahil pihak pembangkang menjadi dalang di pihak di sebalik apa yang
berlaku di Sabah.
Lam Yong turut menyatakan bahawa sanggup disaman mana-mana
pihak kerana apa yang beliau katakan mengenai isu tersebut adalah benar. -
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor