Pages
▼
Tuesday, March 26, 2013
Semangat Polis Terus Membara
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyambut ulang tahun ke-206. Ketika hampir menginjak usia ke 206 tahun, siapa sangka pasukan itu diuji dengan insiden pencerobohan militan di Sabah.
Peristiwa mencatat sejarah itu berlaku selepas lebih 20 tahun negara bebas daripada ancaman komunis. Ia turut menjadi detik hitam kepada PDRM apabila lapan anggota polis terkorban manakala dua lagi dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lebih menguji PDRM apabila ada pihak tertentu yang memperlekehkan peranan PDRM.
Ketua Polis Negara, TAN SRI ISMAIL OMAR menegaskan perjuangan dan pengorbanan anggotanya yang gugur tidak sia-sia. Di sebalik semua itu, pasukan itu jugalah membolehkan Malaysia mencatat kadar bilangan kes jenayah jauh lebih baik daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Negara dikejutkan dengan insiden pencerobohan pengganas di Sabah. Boleh Tan Sri beri gambaran insiden tersebut?
ISMAIL: Apa yang berlaku di Sabah adalah kita berhadapan dengan musuh yang amat kejam. Mereka menolak peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara serta melupakan keamanan.
Di samping itu, mereka memilih untuk menggunakan senjata api dan pihak keselamatan tiada pilihan melainkan bertindak balas dengan kekerasan.
Saya juga ingin menjelaskan kepada waris-waris si mati ini bahawa pengorbanan anggota polis yang gugur itu tidak sia-sia.
Dalam pada itu, Alhamdulillah sumbangan yang kita terima daripada masyarakat Malaysia amat menggalakkan iaitu melebihi RM2 juta.
Terima kasih kepada rakyat yang menunjukkan semangat patriotik yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan golongan.
Bagaimana moral anggota pasukan keselamatan ketika ada antara mereka yang terkorban?
Sebenarnya apabila terdapat pegawai dan anggota polis serta tentera terkorban semasa Ops Daulat, telah menyemarakkan lagi semangat kami.
Kesungguhan, komitmen dan semangat kepahlawanan pasukan keselamatan terbukti apabila sehingga kini 63 orang pengganas yang menceroboh Sabah telah dapat ditembak mati.
Saya sendiri berada di barisan hadapan di Lahad Datu lebih daripada dua minggu dan melihat betapa beraninya mereka dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan.
Saya juga melihat mereka bergerak ke hadapan terus bagi menjejaki pengganas yang telah menceroboh kedaulatan negara kita.
Bagi saya semangat yang ditunjukkan itu selari dengan kehendak masyarakat yang sentiasa inginkan keamanan. Malah pasukan polis sama ada berpangkat rendah dan pegawai kanan telah bersatu hati dalam memikul tanggungjawab yang diberikan.
Boleh ceritakan situasi di Lahad Datu selepas Tan Sri pulang ke ibu negara.
Saya sahkan keadaan di Sabah selamat dan terkawal. Masyarakat di Lahad Datu telah memulakan aktiviti seperti biasa. Kedai dan restoran sudah dibuka pada waktu malam. Mereka bukan sahaja keluar melakukan aktiviti harian malah ada yang beriadah. Dua hari sebelum saya balik saya lihat pada sebelah petang sudah ada kanak-kanak bermain bola di padang. Ini petanda baik.
Bagaimanapun, langkah seterusnya, PDRM akan menambah logistik bagi memperkukuhkan barisan hadapan.
Saya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk menambah anggota di kawasan strategik. Kita juga mungkin akan menghantar pegawai-pegawai dari Semenanjung secara bergilir-gilir.
Kita akan teruskan usaha untuk memberi keyakinan dan kepercayaan kerana keselesaan adalah keutamaan rakyat.
Apa strategi PDRM bagi menjamin keselamatan di Sabah?
Kita mempunyai perancangan jangka panjang yang telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu dengan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Pada masa ini, antara yang sudah kita lihat dalam perancangan tersebut adalah pembukaan balai polis baharu di beberapa kawasan strategik.
Kawasan-kawasan yang dipilih adalah di Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul di Semporna, Pulau Gaya di Kota Kinabalu serta Kampung Tanjung Labian dan Felda Sahabat di Lahad Datu.
Buat sementara waktu, kita telah meletakkan kontena supaya balai tersebut boleh beroperasi segera.
Ini akan dikuatkan dengan kehadiran anggota daripada tugas am dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga sepanjang masa selepas ini.
Dalam pada itu, bagi saya, apa yang berlaku di Lahad Datu membuatkan kita melihat soal keselamatan ini dengan lebih kritikal dan terus berusaha untuk membuat penambahbaikan. Malah saya percaya Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimana PDRM melihat kerjasama dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) selepas ini?
Saya mula melihat perkara ini (kejayaan) bila PDRM dan ATM melakukan kolaborasi dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu dalam mengurangkan kadar jenayah.
Namun tidak sangka apa yang berlaku di Sabah secara tidak langsung kami dapat benar-benar menjalankan operasi bersama dengan tentera.
Malah saya dan PAT (Panglima Angkatan Tentera) sama-sama duduk dan berbincang bagi mengatur strategi dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kami.
Inilah kolaborasi yang kita jalankan selama ini. Dalam situasi di Sabah, kami boleh berhubung hanya menerusi panggilan telefon sahaja bagi menjejak musuh.
Selama dua minggu di Sabah, saya bersama PAT, kami berkongsi aset. Ada benda yang PDRM tiada, kami minta bantuan tentera seperti kereta perisai Adnan. Demi kebaikan untuk negara. Saya berani mengatakan inisiatif NBOS adalah bagaikan blessing (rahmat) kepada negara dan bukan retorik.
Apa pengalaman berharga PDRM yang diketuai Tan Sri semasa menangani Ops Daulat?
Faktanya, kita sudah lama tidak menghadapi ancaman seperti di Lahad Datu. Kali terakhir mungkin tahun 70-an dan 80-an.
Namun saya masih ada pegawai yang berpangkat tinggi hari ini telah melalui perkara sama pada 80-an. Mereka guna pakai kepakaran ini dan saya lihat sendiri bagaimana mereka duduk hendak mencari musuh, inilah kekuatan kita. Meskipun telah lama tapi saya lihat pegawai-pegawai polis ini tidak hilang kepakarannya.
Ini diterjemahkan apabila dalam tempoh seminggu sahaja, saya tengok anggota dan pegawai saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan geografi di sana.
Dalam situasi genting, apabila ada yang gugur, semangat mereka tak jatuh. Sama ada polis dan tentera. Mereka komited merancang gerakan taktikal. Saya bangga dengan mereka. Rakyat jangan bimbang. Kami tak menolak tanggungjawab dan meninggalkan tugas. Malah kita mempunyai command and control (perintah dan kawal) dengan semua elemen berada dalam kedudukannya. Kita mempunyai segala maklumat berkaitan trup pasukan secara terperinci dan tidak mengambil ringan perkara itu.
Sejauh mana kekuatan hubungan risikan PDRM dan negara lain?
Ramai yang tidak tahu risikan yang kita ada sangat baik, tapi kita tak boleh beritahu. Saya mempunyai banyak maklumat daripada risikan. Saya ingin beritahu yang kita mempunyai hubungan risikan yang baik dengan negara jiran. Saya gembira kerana persefahaman ini.
Jangan salah faham, tiada negara dalam dunia ini akan beritahu apa yang perisik mereka tahu, cuma melalui konsep itu kita ada hubungan risikan yang baik.
Sebilangan masyarakat kini lebih suka mengkritik, malah tidak percaya apa yang polis lakukan termasuk insiden di Lahad Datu. Apakah yang perlu dilakukan?
Sebab itulah kerajaan melaksanakan program transformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Situasi ini (tidak percaya) sudah pun wujud sejak 5 ke 10 tahun lalu apabila ada pihak yang menyebar dakyah tidak tepat terhadap PDRM.
Contohnya, apabila kita lambat respons terhadap aduan, rakyat tidak percaya kepada PDRM. Jadi apabila kita menyedarinya, kita mahu ubah dan sebab itulah kami meningkatkan komunikasi.
Apa yang kita buat ialah engagement dan rapid respons.
Kita juga perlu tukar budaya kerja lima tahun dahulu. Mengurangkan kesilapan polis termasuk dalam isu korupsi dan banduan terlepas dari lokap. Saya yakin apabila kita kurangkan kesilapan, masyarakat kembali dan menyokong kita. Ini sudah tentu mengambil masa.
Namun saya yakin apa langkah yang kita ambil ini akan mengembalikan keyakinan masyarakat. Lagi satu apa yang saya lihat kebaikan polis kurang ditonjolkan.
Misalnya PDRM bertugas dengan cemerlang dan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tapi orang tak nampak. Kita bertugas di Timor Leste lebih tiga tahun, masyarakat di sana menyanjung peranan PDRM hingga tidak mahu polis lain berkhidmat di sana. Cerita-cerita ini tidak dimainkan oleh kami (PDRM) dan media pun tidak tahu. Jadi masyarakat nampak yang buruk sahaja.
Jadi saya akan mulakan langkah untuk membuka cerita-cerita kebaikan PDRM. Saya harap pada hujung tahun depan dapat meningkatkan 70 peratus persepsi baik masyarakat terhadap polis.
Apakah ingatan Tan Sri kepada pihak yang memfitnah PDRM?
Pendekatan saya ialah masyarakat perlu bertanggungjawab. Kamu perlu tahu sempadan atau garisan kamu. Bersukan pun ada garisan. Begitu juga hidup ini ada sempadan. Jangan keterlaluan. Namun sekiranya melanggar peraturan, polis akan masuk (tindakan).
Perlu diingat, apa yang kita buat sekarang adalah yang terbaik untuk kemudian hari. Untuk itu semua orang perlu bertanggungjawab.
Apakah perancangan Tan Sri untuk menaik taraf PDRM?
Saya akan meneruskan usaha bagi membangunkan aset-aset PDRM agar setaraf dengan pembangunan negara, anggota serta kehendak rakyat.
Sehingga kini kita telah mengenal pasti 125 projek untuk menaik taraf bangunan PDRM termasuk kuarters. Projek PDRM yang telah siap di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) ialah sebanyak 86 projek yang menelan belanja RM7.34 bilion.
Projek yang dalam pembinaan pula ialah sebanyak 30 projek dengan perbelanjaan RM 2.1 bilion dan ada lagi sembilan projek yang telah diluluskan iaitu bernilai 3.38 juta.
Secara keseluruhannya, bajet yang kita terima dalam RMK-10 berjumlah RM9.9 bilion untuk menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis.
Ini adalah penting kerana negara kita sedang menuju status negara maju dan sebab itulah kita perlukan balai-balai yang baharu dengan dilengkapi peralatan-peralatan canggih.
Apakah fokus PDRM pada masa ini?
PDRM masih lagi menumpukan dua tugasan utamanya iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan yang keduanya meneruskan usaha mengurangkan kadar jenayah.
Seperti laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, hasil yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan saya amat gembira dengan keadaan itu.
Mengikut laporan itu, sejak 2009 hingga 2011 kadar jenayah di negara ini telah menurun 27 peratus (%) berbanding lima tahun sebelumnya.
Ini menunjukkan NKRA menurunkan jenayah memang membawa kesan kepada masyarakat dan bukan retorik atau sengaja diada-adakan.
Maka saya akan meneruskan usaha inisiatif NKRA mengurangkan kadar jenayah pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
Selain itu, sukacita saya maklumkan keadaan jenayah di negara kita amat baik berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Di Malaysia, kadar jenayah yang berlaku di kalangan 100,000 penduduk ialah sebanyak 555 kes berbanding 6,500 kes di UK. Manakala di AS pula 4,000 kes dilaporkan pada jumlah penduduk yang sama.
Selain itu, apa yang membanggakan, kita telah berjaya melepasi sasaran mengurangkan jenayah indeks pada tahun lalu. Sasaran kita ialah 5% bagaimanapun kita mencatatkan pencapaian sebanyak 7.6%.
Bagi jenayah jalanan pula, kita menyasarkan mengurangkan sehingga 45% tetapi kita hanya dapat mencapai 41%. Bagaimanapun kita tetap berbangga kerana sasaran tersebut adalah tinggi. Saya berharap masyarakat menilai pencapaian kami ini sebaik-baiknya.
Bagaimana pula dengan pencapaian mutu perkhidmatan PDRM kepada masyarakat?
Berdasarkan laporan tahun lalu, PDRM menyasarkan pencapaian sebanyak 65 peratus bagi mutu perkhidmatan.
Bagaimanapun kita berjaya mencapai lebih daripada itu iaitu sebanyak 65.7 %. mutu perkhidmatan. Ini termasuklah menerima laporan dengan baik, maklum balas kepada situasi, menyelesaikan siasatan dan mendakwa tertuduh dengan cepat.
Saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah terus berusaha mendapatkan pencapaian yang lebih tinggi supaya masyarakat terus berpuas hati.
Komen Tan Sri mengenai perasaan takut masyarakat kepada jenayah.
Pada Oktober 2012 dilaporkan sebanyak 57.3 % masyarakat masih mempunyai perasaan takut kepada jenayah. Oleh sebab itulah saya amat berharap semua inisiatif GTP mengurangkan jenayah terus dilaksanakan.
Sebagai contoh, penubuhan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), saya menerima banyak maklum balas agar unit itu ditambah.
Dulu kita hanya meronda dengan kereta peronda sahaja. Tapi dengan adanya URB kita nampak kesan yang lebih meyakinkan.
Oleh itu, saya akan buat permohonan bagi menambah motosikal lagi kerana dengan kewujudan unit ini membuat rakyat rasa selamat.
Kelebihannya adalah unit itu mempunyai motosikal yang dilengkapi peralatan canggih serta mempunyai komunikasi yang baik. Malah dengan adanya lampu siren pada waktu malam sudah pasti akan menakutkan penjenayah dengan mengetahui kehadiran polis.
Apakah bentuk cabaran yang dihadapi PDRM?
Salah satu cabaran yang dihadapi PDRM ialah untuk berhadapan dengan perkembangan bidang teknologi maklumat (IT).
Terdapat mereka tidak bertanggungjawab melalui laman sosial seperti Facebook (FB) dan pelbagai medium lain yang mengeluarkan maklumat tidak tepat dan boleh menggugat keselamatan negara.
Misalnya, mereka melaporkan ada pergaduhan kaum di Johor sedangkan perkara itu tidak berlaku. Bagi saya ini adalah ancaman serius kepada negara ketika ini malah di dunia.
Oleh itu, saya telah mengarahkan pasukan komunikasi PDRM untuk memantau elemen yang tidak sihat yang menular dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), FB, Twitter dan lain-lain lagi.
PDRM telah membelanjakan setengah juta ringgit pada enam bulan pertama 2012 bagi meningkatkan kemudahan tersebut sekali gus menangani masalah-masalah maklumat salah atau menabur fitnah untuk menjatuhkan imej polis.
Perkara seperti inilah juga kita lihat boleh menghakis kepercayaan masyarakat kepada polis.
Selain itu perlu banyak pertemuan dengan pihak media untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Bagaimana pula dengan kerjasama PDRM dengan agensi lain dan masyarakat?
Disebabkan jenayah turut disumbang oleh pelbagai faktor, saya sentiasa berharap agensi-agensi lain turut membantu polis.
Dalam hal ini, kita perlu menggunakan prinsip 3C iaitu komunikasi (comunicate) usahasama (collaborate) dan kreativiti (creativity).
Polis perlu berkomunikasi dengan masyarakat dan mendengar rintihan mereka. Bagi masyarakat peranan itu sebenarnya tidak perlu aktif cukup sekadar memberi maklumat yang berkualiti.
Oleh sebab itu, kita telah tubuhkan unit khas wanita dikenali sebagai Amanita untuk polis berinteraksi dengan rakyat. Kita juga laksanakan program kios selamat di kedai serbaneka dan stesen minyak.
Matlamatnya apabila seseorang menjadi mangsa jenayah dia boleh pergi ke tempat tersebut. Bagi saya ini adalah tambah nilai apa yang kita buat dalam NKRA.
Namun kita faham perkara ini tidak boleh dijalankan secara mendadak kerana kita perlu perubahan minda daripada masyarakat.
Apakah persiapan PDRM menghadapi PRU-13?
Saya baru sahaja menghadiri mesyuarat bersama semua Ketua Polis negeri bagi menghadapi PRU-13 beberapa hari lalu.
Untuk pengetahuan, PDRM telah melakukan tiga Latihan Amal Ex-Ballot bagi menguji keupayaan kita.
Ujian yang dilakukan adalah ujian komunikasi iaitu komunikasi dari Bukit Aman ke daerah-daerah, ujian penugasan dan ujian ketenteraman awam.
Secara ringkasnya, hasil daripada latihan tersebut, PDRM telah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dan tugas apabila Parlimen dibubarkan nanti dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRU-13.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor