Pages
▼
Friday, March 1, 2013
Pembangkang Hanya Tahu Berjanji
PUSAT bandar Shah Alam di sekitar Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kelmarin sesak kerana berlangsungnya Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 dan pelancaran manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir.
Kelihatan lori treler kempen pilihan raya pakatan pembangkang sengaja diletakkan di tepi jalan bagi memperlihatkan gahnya persediaan mereka untuk berentap dalam kempen pilihan raya umum nanti.
Namun dari segi hakikatnya, pelancaran manifesto pakatan pembangkang diselubungi kepincangan kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipuji melambung oleh Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai 'pusat graviti' belum lagi disepakati oleh sekutu-sekutunya untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu selepas PRU-13.
Ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan Anwar perlu diangkat menjadi Perdana Menteri juga kelihatan disambut hambar oleh peserta konvensyen yang rata-ratanya adalah aktivis tegar Pas serta PKR.
Ini kerana kepemimpinan dan akar umbi Pas sendiri lebih cenderung untuk mengangkat Abdul Hadi sebagai ketua kerajaan sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya umum.
Malah menjadi satu kepincangan juga apabila hasrat pakatan mahu melangkah dalam pilihan raya umum yang diibaratkan sebagai ibu segala pilihan raya dengan menggunakan satu logo.
Anwar sendiri seolah-olah cuba menutup kepincangan dan percanggahan pendapat dalam soal mendasar seperti kalimah Allah dan pergeseran antara Pas dan DAP berkaitan isu-isu Islam dan yang terbaharu pertelingkahan DAP dan PKR di Johor.
Dalam keghairahan Anwar memuji negeri-negeri pakatan, beliau bagaikan terlupa menyebut kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Kedah. Mengapa? Adakah Kedah tidak membangun, atau kepimpinan Pas di Kedah sukar menerima Anwar?
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri juga mengakui berlaku pertelingkahan, debat dan perbalahan dalam pakatan pembangkang tetapi katanya, perkara itu ibarat kacau gula, kopi dan teh tetapi tidak memecahkan cawan.
Dalam keadaan sedemikianlah manifesto pakatan pembangkang dilancarkan dengan tema 'Pakatan Harapan Rakyat'. Persoalannya benarkah pakatan pembangkang dapat memenuhi harapan rakyat?
Sedangkan sebelum ini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri mengatakan manifesto 'bukan satu perjanjian' sebagai alasan setelah menyedari sukarnya untuk melaksanakan janji-janji manifesto selepas memegang tampuk pemerintahan.
Ahli-ahli politik boleh meletakkan segala macam janji yang muluk belaka tetapi pokok pangkalnya ialah pelaksanaan. Sekali pandang sudah ada yang menyatakan manifesto pakatan pembangkang itu agak menarik apatah lagi dengan warna jingga yang begitu menyerlah. Dokumen tersebut adalah kesinambungan Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat.
Di hujung buku manifesto 35 muka surat tersebut, dikarang pula surat seorang individu bertarikh 14 September 2023 - menggambarkan keadaan Malaysia ketika itu setelah diperintah oleh pakatan pembangkang. Segala yang dinikmati kononnya adalah kerana keputusan selepas 10 tahun mengundi dalam PRU-13.
Benarkah segala perubahan itu akan tercapai melalui pembangkang sedangkan sejak dari awal lagi kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad melakarkan visi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat ketika itu memiliki pendapatan tinggi.
Tanpa menyebut keseluruhan bajet bagi melaksanakan isu kandungan manifesto berkenaan, pakatan pembangkang hanya menyenaraikan pelbagai janji untuk rakyat namun belum menjamin pelaksanaannya secara berkesan.
Dari segi pengalaman, rakyat sudah dapat menilai janji-janji yang dibuat itu ada yang gagal dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun pakatan pembangkang memerintah di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.
Pakatan pembangkang sekali lagi memainkan janji untuk menurunkan harga minyak selain menawarkan caj elektrik dan bekalan air lebih rendah serta menurunkan harga kereta.
Pakatan pembangkang yang gagal menyediakan harga rumah mampu milik mencukupi kepada rakyat sepanjang lima tahun memerintah di negeri-negeri yang dikuasainya juga menjanjikan 150,000 rumah selesa mampu milik dengan Perbadanan Perumahan Negara membuat pelaburan RM5 bilion tahun pertama dan RM2 bilion untuk membina rumah berkenaan.
Namun dalam manifesto tidak disebut pula tentang soal pembinaan rumah kos rendah bagi golongan tidak berkemampuan sedangkan dasar tersebut perlu dipertahankan oleh sesebuah kerajaan yang mahukan keadilan sosial berlaku dalam masyarakat terutama bagi menangani kemiskinan di bandar.
Begitu juga dengan janji gaji minimum RM1,100 dan menyasarkan pendapatan isu rumah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan dalam tempoh sepenggal pemerintahan.
Namun secara realitinya, negeri Selangor sendiri tidak mampu menyediakan gaji minimum tersebut sepanjang sepenggal pakatan pembangkang memerintah dengan kadar RM1,500 sebulan yang dijanjikan sebelum ini.
Malah sebenarnya angka pendapatan isi rumah sebanyak RM4,000 itu sudah lama menjadi sasaran kerajaan kerana sebagai negara maju kita perlu mempunyai pendapatan perkapita yang diperlukan iaitu RM46,500 dengan sekarang sudah sampai lebih RM30,070.
Pembangkang turut mengulangi janjinya untuk menyediakan pendidikan percuma untuk semua, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selain membatalkan saman AES.
Janji pakatan pembangkang dalam manifesto PRU-13 bagi memberikan pendidikan percuma dilihat hanya satu bentuk frasa kata yang sedap dibaca tetapi tidak mungkin dapat dilaksanakan.
Meskipun dalam manifesto tersebut, parti pembangkang menyatakan langkah itu mampu dilaksanakan tetapi dari segi pelaksanaannya menyebabkan pelajar pengajian tinggi swasta bakal menghadapi masalah apabila PTPTN dihapuskan.
Dalam manifesto tersebut pakatan pembangkang menjanjikan yuran pengajian percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) manakala pelajar institusi swasta diberi subsidi yuran setara dengan kos tanggungan di IPTA.
Pelajar IPTA diberikan elaun sara hidup meliputi makan, minum, kos kediaman, buku dan pengangkutan manakala pelajar swasta boleh meminjam dari satu dana khas untuk menampung kos sara hidup.
Dari sini dilihat, penghapusan PTPTN sebagai badan pembiayaan pinjaman ternyata menjadi bahan politik kerana pembangkang turut mahu menubuhkan satu dana khas untuk menyalurkan pinjaman kos sara hidup.
Namun tidak dinyatakan pinjaman tersebut tanpa kadar faedah atau tidak dan dalam masa sama persoalan siapa yang boleh membiayai lebihan kos yuran pengajian pelajar swasta.
Pembangkang juga tidak menjanjikan hutang pinjaman PTPTN sedia ada akan dihapuskan sebaliknya hanya menyatakan akan memperkenalkan mekanisme menangani masalah hutang pelajar dengan perbadanan tersebut.
Selain itu, rakyat juga ditawarkan perkhidmatan wad percuma bagi kelas dua dan tiga di hospital kerajaan manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan kepada RM550 sebulan.
Selain itu, imbuhan dan insentif kewangan yang dinyatakan dalam manifesto pembangkang ternyata ibarat menepuk air di dalam dulang, air terpercik ke muka sendiri.
Kalau sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengibaratkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai hampas kelapa, tohmahan itu akhirnya memberikan tamparan kepada pakatan pembangkang sendiri apabila mereka turut memperkenalkan imbuhan kewangan dalam manifesto pilihan rayanya.
Abdul Hadi pula menyifatkan pemberian BR1M mirip kepada habuan yang diberikan oleh Firaun di Mesir ribuan tahun lampau. Bukankah sepanjang tempoh lima tahun ini pakatan pembangkang sibuk memberikan wang RM100 untuk program Jom Shopping bagi warga emas. Begitu juga memberikan air percuma kepada setiap rakyat Selangor.
Adakah itu semua seperti hampas kelapa sebagaimana tajuk muka depan keluaran terbaru akhbar Harakah; 'BR1M ibarat hampas kelapa' sebagai memetik tohmahan terbaru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja pulang dari Tanah Suci, Mekah.
Tindakan itu berbeza dengan Kerajaan Pusat yang melaksanakan BR1M sebagai menunaikan pembentangan dalam Bajet 2012 dan 2013.
Bagaimanapun, pakatan kali ini membuat beberapa janji dalam bentuk insentif kewangan seperti caruman wanita sebanyak RM50 sebulan bagi isteri manakala suami perlu membuat caruman antara RM10 hingga RM100 sebulan selain Skim Bonus Warga Emas (60 tahun ke atas) sebanyak RM1,000 setahun.
Persoalannya belum tentu janji itu dapat ditunaikan tanpa sebarang bajet yang tepat sebagaimana terjadi kepada janji-janji pakatan di Selangor untuk memberikan elaun kepada ibu tunggal dan pelajar tadika.
Pendek kata para pengundi pada PRU-13 perlu membuat penilaian sejauh mana janji-janji besar pakatan sebelum ini.
Dulu mereka berjanji menghapuskan tol, mengambil alih konsesi lebuh raya dan menurunkan harga minyak tetapi di Selangor, janji mahu menurunkan cukai pintu pun belum dilaksanakan dan rancangan mengambil alih konsesi bekalan air juga masih gagal dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor