Pages

Thursday, January 10, 2013

Tabung Memali Bukti Penyelewengan PAS


Saodah Isa hanyalah seorang balu kepada salah seorang penduduk Kampung Memali, Baling, Kedah yang terbunuh ketika tercetus peristiwa Memali pada 19 November 1986.

Tetapi Pas 'meraih keuntungan besar' daripadanya. Nama Saodah merupakan antara 14 balu yang dijaja oleh Pas di seluruh pelosok tanah air suatu ketika dulu untuk mengutip derma bagi memenuhi apa yang dipanggil Tabung Memali.

Berikutan perasaan simpati mendalam puluhan ribu ahli dan penyokong Pas, sumbangan atas niat untuk membela nasib mereka dihulurkan.

Tetapi percaya atau tidak, Saodah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan cukup tragis. Salah satu kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis, dia menghabiskan sisa hidup di atas tilam usang dengan di kelilingi oleh bau hanyir nanah dan darah serta berlindung dalam rumah cukup daif.

Kesengsaraan dan penderitaan hidup Saodah yang dilihat dengan mata kepala sendiri oleh Zainon Ismail atau C.N Al-Afghani telah membangkitkan lagi semangat beliau untuk membongkar apa yang didakwa penyelewengan Tabung Memali.

Zainon biar pun diperlekehkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai seorang guru sekolah rendah adalah insan paling layak bercakap soal tabung tersebut.

Ia memandangkan jari jemari Zainonlah yang memproses setiap sumbangan yang sampai ke tabung tersebut, malangnya wang itu entah ke mana.

Apa yang berlaku kepada Saodah seolah-olah melengkapkan kisah sedih balu-balu dan anak-anak yatim Memali yang suatu ketika seolah-olah 'diperdagangkan' oleh Pas bukan sahaja untuk mengutip derma tetapi juga demi mencapai cita-cita politik mereka bagi menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sebab itulah, Zainon tidak boleh berdiam diri lagi, segala kemungkaran dalam pengurusan Tabung Memali dibongkarkan secara terperinci dalam buku berjudul Air Mata di Bumi Memali.

Buku setebal 243 muka surat itu memaparkan segala dakwaan Zainon terhadap penderitaan dan kesengsaraan balu serta anak yatim Memali.

Sememangnya, tidak berhasrat mengatakan apa yang didakwa oleh Zainon satu kebenaran mutlak tetapi jika buku beliau dibaca, memang terlalu banyak persoalan yang harus dijawab oleh kepimpinan Pas mengenai pengurusan tabung tersebut.

Seperti mana kata Zainon dalam satu taklimat khas di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, beliau mengambil risiko yang cukup tinggi apabila membangkitkan persoalan mengenai Tabung Memali itu.

Tetapi sebagai seorang yang telah bersama-sama dengan penduduk Memali sejak awal tahun 1990-an termasuk menjadi tenaga pengajar di Madrasah Islahiah Diniah (MID), Kampung Memali, serta berkahwin dengan salah seorang balu kepada penduduk yang terbunuh dalam peristiwa Memali, Zainon sudah pasti mempunyai bukti-bukti yang cukup kukuh untuk mempertahankan dakwaannya.

Sekali lagi, dalam berhadapan dengan isu seumpama ini, kepimpinan Pas dituntut bersikap telus bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan Zainon dan bukannya menganggap ia isu basi seperti mana mereka melayan isu Amanat Haji Hadi.

Dakwaan yang dibuat oleh Zainon cukup serius kerana jumlah wang yang dikatakan terlibat bukannya RM1,000 atau RM2,000 tetapi mencecah jutaan ringgit.

Tetapi seperti mana yang didakwa oleh Zainon, balu dan anak yatim Memali tidak merasai sumbangan itu, malahan seperti mana dipaparkan dalam bukunya, balu Allahyarham Ibrahim Libya hampir menjual tanah semata-mata untuk membiayai pengajian anaknya di luar negara.

Kalau benar tabung itu berfungsi seperti mana diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin Pas di atas pentas-pentas ceramah bagi meraih simpati, kenapakah kejadian seumpama itu berlaku? Kenapakah sampai sekarang balu dan anak yatim di Kampung Memali hidup dalam keadaan cukup daif dan memilukan?

Bukankah dengan kutipan yang didakwa mencecah jutaan ringgit itu seharusnya balu dan anak yatim Memali akan mampu hidup senang? Bukanlah maksud untuk hidup mewah tetapi cukup bagi meneruskan kehidupan mereka termasuklah melanjutkan pelajaran.

Oleh itu, kepimpinan Pas tidak mempunyai pilihan, jika mereka merasakan apa yang didedahkan oleh Zainon tidak benar, maka tampillah dengan mengemukakan bukti-bukti dan jika yakin mereka di pihak yang benar maka bawalah isu ini ke kamar pengadilan.

Langkah itu penting bagi membersihkan nama Pas sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam dan kini bersungguh-sungguh mahu menubuhkan negara berkebajikan.

Apalah gunanya hasrat sedemikian kalau kebajikan balu dan anak yatim Memali pun tidak terjaga. Mana mungkin Pas mampu menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia sedangkan beberapa orang penduduk di sebuah kampung pun dibiarkan hidup dalam kesengsaraan.

Kepimpinan Pas harus faham isu ini melibatkan wang rakyat, isu ini melibatkan sumbangan yang dibuat atas dasar amal jariah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong mereka. Justeru sudah pastilah mereka berhak mengetahui sama ada dakwaan Zainon itu benar atau tidak.

Janganlah berselindung di sebalik hujah-hujah politik termasuklah menuduh Zainon sudah diperalatkan oleh UMNO dan pendedahan beliau hanya satu fitnah.

Kalau betul ia satu fitnah buktikan, jika benar ia satu tohmahan tampilkan bukti-bukti nyata bagi menyokong kenyataan tersebut. Sesiapa yang membaca buku Zainon Air Mata di Bumi Memali pasti akan berpendapat ia bukan sekadar satu dakwaan kosong.

Tambahan pula, Zainon menunjukkan keberanian yang luar biasa dalam melakukan pendedahan ini, beliau bukan sahaja rela dipecat daripada Pas, malahan sanggup bertarung dengan parti itu dalam gelanggang undang-undang apabila membuat laporan polis kali pertama pada tahun 2000.

"Saya minta kepimpinan Pas supaya memberi penjelasan mengenai isu Tabung Memali ini, jangan bermain politik dalam soal ini kerana apa yang saya dedahkan adalah berkaitan dengan nasib balu dan anak yatim, golongan yang wajib kita bela.

"Saya sudah bersedia menghadapi apa juga kemungkinan dalam menegakkan kebenaran ini dan jika pemimpin Pas masih lagi mahu berpolitik dan memandang remeh isu ini, saya akan membuat laporan polis kedua dalam masa terdekat ini."

Itulah peringatan Zainon ketika majlis taklimat tersebut, dengan riak wajah dan nada suaranya yang tegas, beliau begitu yakin dengan perjuangannya bagi memastikan kebenaran di sebalik kewujudan Tabung Memali terdedah.

Oleh itu kepada kepimpinan Pas, sahutlah cabaran Zainon jika mereka yakin tidak ada apa-apa penyelewengan berlaku dalam pengurusan Tabung Memali.

Jika kepimpinan Pas mengambil sikap tidak mahu menjawab persoalan pokok yang diketengahkan oleh Zainon, mereka haruslah bersedia menanggung akibat daripada ketidakjujuran itu.

Bak kata Zainon pada majlis taklimat berkenaan, ''selagi hak balu dan anak yatim Memali tidak dikembalikan kepada mereka, selagi itulah Pas akan berhadapan dengan masalah."

Dan lebih daripada itu, Zainon juga mencoretkan dalam buku itu "…setitik air mata mereka gugur atas perbuatan kita, tunggulah kemurkaan Allah."

Semoga kepimpinan Pas akan mempunyai keberanian untuk menangani pendedahan terbaru Zainon ini kerana keghairahan mereka memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bukan alasan untuk mendiamkan diri dalam berhadapan dengan satu dakwaan yang dianggap kezaliman dan penganiayaan ke atas balu dan anak yatim.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor