Pages

Friday, January 4, 2013

Penduduk Gempar Premis Terbakar


KUALA LIPIS - Keasyikan pengunjung yang sedang  menikmati sarapan pagi di bangunan Centrepoint  terganggu seketika apabila dikejutkan dengan kemunculan asap tebal dari tingkat tiga bangunan terbabit kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Seorang pengunjung, Mohd Zaidi Abdul Nasir, 25, berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi rakan sedang menikmati sarapan pagi di tingkat bawah bangunan berkenaan sebelum mereka terlihat kepulan asap.

Menurutnya, panik melihat keadaan tersebut, pengusaha premis yang berada di sekitar bangunan terbabit bertindak keluar dari premis masing-masing untuk menyelamatkan diri.

“Orang ramai yang berada di sekitar kawasan bangunan itu juga terkejut dan masing-masing bertindak menjauhi kawasan kebakaran.

“Beberapa minit kemudian anggota bomba dan penyelamat datang untuk memadamkan kebakaran.  Kami semua lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Abdul Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 10.10 pagi.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran dari sebuah kedai kosong di tingkat tiga bangunan itu.

“Setakat ini pihak kami masih menjalankan siasatan punca sebenar kebakaran,” katanya.

Abdul Hamid  turut menasihatkan orang ramai terutama pengusaha premis tidak membuang sampah di dalam premis bagi mengelakkan kejadian kebakaran berlaku.

“Dalam kejadian ini, banyak sampah dibiarkan di dalam premis kosong berkenaan dan ini memudahkan api marak dengan cepat.

“Kejadian sama pernah berlaku kira-kira dua tahun lalu di bangunan yang sama. Justeru, tanggungjawab pengusaha premis sangat diperlukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor