Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong mengadakan gotong-royong membersihkan rumah dua buah keluarga yang menjadi mangsa banjir kilat di Kampung Batu Satu dekat sini kelmarin.
Ketuanya, Datuk Johari Harun berkata, usaha itu merupakan salah satu daripada khidmat masyarakat Pemuda UMNO Bentong bagi meringankan beban keluarga Mohd. Rosdi Mohd. Ali, 38, dan Roslan Dollah, 37.
"Selain itu, kami turut mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Majlis Perbandaran Bentong (MPB) bagi membolehkan kedua-dua keluarga malang ini ditempatkan sementara waktu di kuarters MPB.
"Ia bagi mengelakkan mereka terus berdepan dengan masalah banjir kilat memandangkan pada masa kini cuaca tidak menentu," kata Johari.
Yang turut hadir, Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid; Pengerusi Majlis Belia Daerah, Ahmad Nilhakim Abdul Rahim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Batu Satu, Mohd. Isa Mat.
Menurut Johari, selain membantu menyediakan penempatan, usaha juga turut dijalankan dengan menambah baik sistem perparitan di kawasan berkenaan terutama di jalan utama.
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu melihat semula sistem saliran di kawasan tersebut supaya perparitan atau pembentungan mampu untuk menampung aliran air hujan yang banyak.
"Apa yang diharapkan menerusi usaha yang dijalankan dapat membantu menangani masalah dihadapi dua keluarga ini," kata Johari.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor