Pages
▼
Saturday, January 5, 2013
Mohon Pinda Enakmen Hiburan
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk meminda Enakmen Hiburan 1993 bagi memberi kuasa kepada mereka menyita serta merampas aset kafe siber haram yang menjalankan perjudian internet di daerah ini.
Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, undang-undang itu perlu digubal bagi tujuan pengeluaran lesen serta mengawal aktiviti hiburan di seluruh negeri ini.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bertindak sebagai penguat kuasa enakmen tersebut. Antara kuasa diberikan kepada MPK di bawah enakmen ini adalah melesenkan aktiviti hiburan, kompaun kesalahan serta menjalankan pendakwaan di mahkamah.
"Bagaimanapun kita tidak mempunyai kuasa untuk menyita dan merampas kerana kedua-duanya di bawah bidang kuasa polis," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MPK di sini baru-baru ini.
Menurut Zulkifli, mengikut enakmen tersebut di negeri ini, PBT mempunyai kuasa penuh dalam mengeluarkan lesen aktiviti hiburan.
"Kuota lesen untuk pusat kafe siber di daerah ini adalah 100 buah dan ketika ini kita mengeluarkan 68 lesen sahaja. Malangnya pusat itu yang menjalankan aktiviti haram tersebut tumbuh bagai cendawan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya merampas pelbagai peralatan melibatkan kegiatan tersebut bernilai RM6.7 juta di sekitar daerah ini sepanjang 11 bulan tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 320 premis haram itu diserbu dalam operasi membanteras kegiatan tersebut bagi tempoh berkenaan.
"Seramai 36 pemilik didakwa di mahkamah dan MPK memandang serius masalah itu. Operasi yang dilakukan turut melibatkan kerjasama daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor