Pages
▼
Wednesday, December 12, 2012
Rejim DAP Punca Rakyat P.Pinang Hidup Menderita
DATUK Seri Najib Tun Razak berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula untuk memerintah negeri ini.
"Beri kepercayaan kepada kita (BN), kita akan buat jauh lebih baik. Ada satu, dua kawasan. Saya nak datang lagi. Banyak lagi saya nak buat," kata Perdana Menteri dalam program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu lalu.
Kerajaan BN tidak akan membenarkan orang Melayu di negeri ini terpinggir dan pada masa sama terus membela nasib kaum Cina dan India. Menurut Najib, janji kerajaan BN tidak sama seperti kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tiada rumah kos rendah atau mampu milik yang dibina di negeri ini seperti disebut dalam Laporan Audit Negara 2010.
"Inilah janji saya di depan ribuan rakyat Pulau Pinang dan bukan macam janji Ketua Pembangkang yang mahu mengatasi masalah rumah di Kampung Buah Pala dalam tempoh dua minggu, tetapi mereka tidak tunaikan.
"Semua orang tahu penduduk Kampung Buah Pala tidak dapat rumah seperti yang dijanjikan dan yang selesaikan masalah 26 keluarga India ialah kerajaan BN," ujarnya.
Malah terbaru, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak ambil peduli terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah apabila sanggup membatalkan tawaran kepada Barisan Nasional (BN) untuk membeli tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebaliknya lebih rela menjual tapak PPR itu kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.
Walhal masih terdapat ramai rakyat miskin menghadapi masalah tempat tinggal terutama sepanjang hampir lima tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah tidak ada pembinaan rumah kos rendah.
Kerajaan negeri pimpinan Guan Eng juga tidak mempunyai pengurusan yang baik menyebabkan harga rumah melambung naik.
Jika tiada dasar perumahan bersepadu disediakan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang, kemungkinan rakyat berpendapatan rendah di bahagian pulau negeri itu terpaksa berpindah ke tanah besar Seberang Perai menjelang 2014.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, berdasarkan kajian Institut Pulau Pinang yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri, keadaan itu boleh berlaku ekoran harga rumah yang melambung naik sehingga 50 peratus pada tahun lalu berbanding 2006.
"Ini yang kita tidak mahu lihat. Kita mahu atasi dan BN mampu menyelesaikan perkara ini," kata Chang Yeow ketika berucap dalam program Jelajah Janji Ditepati.
Rakyat Pulau Pinang sememangnya mengharapkan projek-projek perumahan mampu milik. Bagi mereka cukup sekadar membina rumah yang selesa dan mampu untuk dibeli rakyat.
Harapan penduduk Pulau Pinang untuk menikmati perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti juga masih belum kesampaian.
Masalah pengangkutan bas dan teksi masih belum dapat diatasi sepenuhnya, menyebabkan penduduk tempatan hilang kepercayaan dan memilih pengangkutan sendiri untuk memudahkan pergerakan mereka.
Keadaan itu menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas tidak dapat diatasi dan menjadi semakin kritikal apabila bilangan kenderaan lebih banyak daripada jumlah penduduk.
Penduduk Pulau Pinang berhak disediakan dengan kemudahan pengangkutan moden seperti monorel demi menjamin kehidupan lebih selesa.
Sistem monorel yang dijanjikan itu merupakan keperluan rakyat negeri itu perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan penggunaan pengangkutan peribadi di jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin tidak terkawal.
Harapan untuk BN kembali menawan kerajaan negeri semakin tinggi apabila perkembangan polemik politik antara MCA dan Gerakan telah berakhir. Kedua-dua parti komponen BN itu kini fokus untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow berkata, kewujudan kerjasama antara jentera kedua-dua parti di banyak kawasan membuktikan polemik tersebut berjaya diketepikan.
Harapan penyokong Melayu kepada kerajaan DAP pun kini semakin pudar, apatah lagi pemimpin kiasu parti itu sentiasa bercita-cita hendak menghapuskan hak istimewa orang Melayu. Janji mereka untuk membela Melayu hanya cakap-cakap sahaja kerana kuatnya ideologi Malaysian Malaysia. Cukuplah sekali orang Melayu termakan janji-janji palsu DAP dalam membela nasib orang Melayu.
Pulau Pinang yang suatu masa dahulu dianggap negeri maju selepas Selangor kini nampaknya sudah ketinggalan kereta api laju. Semua ini kerana sikap pemimpin kerajaan negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang perlu dihentikan daripada sentiasa menepuk dada dengan penuh bangga kononnya, pentadbiran pakatan jauh lebih baik berbanding UMNO-BN walaupun pada hakikatnya, semua kejayaan yang dikecapinya adalah hasil kerja UMNO-BN.
Setelah hampir genap satu penggal (lima tahun) mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semakin jelas pula tembelang DAP.
Kebanggaan yang ditonjolkan oleh Guan Eng sebenarnya mencerminkan kebimbangannya terhadap Pulau Pinang yang bakal ketinggalan jauh berbanding Johor dan Sarawak yang sekarang semakin menghampiri Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.
Seandainya itu yang berlaku, bermakna segala temberang pakatan DAP, PKR dan Pas yang kononnya mereka lebih baik berbanding UMNO-BN, akan pecah mengeluarkan bau busuk.
Prasarana pelaburan yang ditinggalkan oleh BN untuk kerajaan DAP di Pulau Pinang, gagal dioptimumkan sepenuhnya. Maknanya, pakatan kerajaan campuran pimpinan DAP gagal menggantikan BN sebagai kerajaan negeri yang lebih baik.
Sebelum pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Pulau Pinang telah pun terkenal sebagai pusat perindustrian dan pelaburan. Pelaburan-pelaburan yang baru masuk ke Pulau Mutiara itu kebanyakannya adalah hasil usaha Kerajaan Pusat, bukannya kerajaan negeri. Sebab itu pentingnya kerajaan negeri dipimpin parti yang sama menjaga Kerajaan Pusat.
Dalam hal ini, Guan Eng sebenarnya amat takut dia ditempelak rakyat kerana gagal membawa kemajuan dan pelaburan baru dalam jumlah yang besar setelah dia bercakap besar tentang Cekap, Amanah dan Telus (CAT) dalam pentadbirannya di Pulau Pinang.
Beberapa rombongan perdagangan dan usaha menarik pelabur dilihat gagal, malah hatinya lebih sakit apabila mendapat tahu, pelabur-pelabur kini lebih berminat ke Johor berbanding Pulau Pinang.
Memerhatikan gelagat Guan Eng mentadbir sebuah negeri kecil, sudah cukup menggambarkan ketidakupayaannya untuk memimpin sebuah kerajaan negeri.
Untuk menutup kekurangan diri, pemimpin DAP Pulau Pinang tanpa rasa malu mencanangkan kejayaan yang bukan daripada hasil usaha mereka. Sebenarnya hasil kerja Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO dan BN.
Hakikatnya DAP cuba membohongi rakyat. DAP tidak mahu memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang baik di Pulau Pinang mahupun Kedah, Selangor dan Kelantan.
Jika benar tohmahan pakatan pembangkang bahawa Kerajaan Pusat yang diketuai oleh UMNO itu zalim, bagaimana Pulau Pinang menerima kemasukan pelaburan-pelaburan baru pada awal pentadbirannya?
Ketidakupayaan pemimpin untuk mentadbir negeri akan menyebabkan pembangunan terencat dan lebih teruk rakyatnya menderita akibat ketinggalan serba-serbi kemajuan berbanding negeri di bawah kuasa BN.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor