Pages

Sunday, December 9, 2012

Kerajaan Sentiasa Membela Nasib Orang Asli


Pahang mempunyai penduduk Orang Asli paling ramai di negara ini dengan jumlah kira-kira 65,000 orang melibatkan 13,000 keluarga.

Walaupun merupakan golongan minoriti, masyarakat Orang Asli di negeri ini cukup beruntung kerana kebajikan dan keperluan mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Malah kerajaan cukup prihatin untuk membawa pembangunan di kawasan penempatan masyarakat pribumi itu yang bertebaran di seluruh negeri bagi membolehkan mereka sama-sama merasai nikmat pembangunan sama seperti kaum lain.

Selain itu, pelbagai program disusun jabatan kerajaan terlibat untuk mendekatkan pimpinan negeri dengan masyarakat kaum itu yang tinggal di pedalaman agar permasalahan dan kebajikan mereka dapat disalurkan terus ke peringkat atasan.

Terbaru Program Mesra Minda di Kampung Orang Asli Sungai Gapoi, Pelangai yang dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menerusi program itu, Adnan mengambil peluang menjelaskan dakwaan sesetengah pihak yang kini giat mengeksploitasi isu pemilikan tanah adat kaum itu yang kononnya gagal dibela oleh kerajaan negeri.

Sedangkan, Adnan dalam ucapannya menegaskan, tanah adat kaum Orang Asli seluas 4,245.39 hektar telah diwartakan sebagai sokongan bagi memastikan survival etnik itu di negeri ini.

Malah menurut beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan tanah hak milik individu seluas 1,084.59 hektar dan 31.76 hektar untuk kegunaan pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

''Ini bermakna status tanah Orang Asli Negeri Pahang yang terkini adalah seluas 5,361.74 hektar dan ini membuktikan kebajikan golongan etnik ini sentiasa mendapat pertimbangan adil kerajaan.

''Ini secara langsung menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mengeksploitasi isu pemilikan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli di Pahang," kata Adnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masyarakat Orang Asli yang mendiami 263 kampung di seluruh Pahang beruntung kerana mereka tidak pernah dipinggirkan.

''Maka tidak hairanlah sosioekonomi dan pendidikan Orang Asli semakin bertambah baik malah ramai telah menjejak kaki ke menara gading dan berjawatan profesional.

''Masyarakat Orang Asli kini sama-sama berada dalam arus perdana untuk menjayakan gagasan 1Malaysia yang menzahirkan kepelbagaian kaum di negara ini," katanya pada majlis perasmian program tersebut.

Menurut Wan Rosdy, Jakoa negeri memperuntukkan sebanyak RM260,000 bagi mengadakan Program Mesra Minda di 11 buah perkampungan Orang Asli meliputi 11 daerah di negeri ini.

Katanya, sebanyak RM1.01 juta lagi diperuntukkan bagi projek membaik pulih 203 rumah Orang Asli manakala RM400,000 untuk bantuan bencana alam di kawasan perkampungan masyarakat tersebut.

Tambahnya, Jakoa negeri menerima peruntukan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM2.6 juta bagi projek kemudahan infrastruktur termasuk membina 77 unit rumah.

''Sebanyak RM1.398 juta lagi untuk program kebajikan, bantuan kesihatan, tabika, yuran asrama manakala RM1.9 juta untuk program bakul makanan, insentif wang saku pelajar dan tambang pengangkutan pelajar Orang Asli,'' katanya.

Di samping itu, kata beliau, Jakoa memperuntukan sebanyak RM1.58 juta untuk membayar bonus Batin dan JKKK perkampungan Orang Asli.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor