Pages

Wednesday, December 5, 2012

Golongan "Ustad Ustazah Segera" Dipantau


Semua pihak di negeri ini diminta bersama-sama memantau kewujudan 'ustaz dan ustazah segera' bagi memastikan kemasukan mereka dapat dihalang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, golongan terbabit kebiasaannya tidak mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang agama Islam tetapi mereka menyampaikan ceramah berdasarkan pengalaman selepas 'berhijrah'.

"Kewujudan mereka itu (ustaz dan ustazah segera) boleh disifatkan kepada mencari makan (meraih pendapatan) walaupun tidak mempunyai ilmu agama secara formal untuk membimbing masyarakat.

"Oleh itu, saya harap semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memantau keadaan ini supaya tidak berlaku penyelewengan akidah dan sebagainya," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang ke-12, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shahaniza Shamsudin (BN-Kuala Sentul) yang ingin tahu tindakan kerajaan bagi memantau kewujudan 'ustaz dan ustazah segera' di negeri itu.

Adnan sebelum itu menjawab soalan Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing), mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme yang mengancam agama Islam termasuk agama lain.

Menteri Besar itu berkata, keadaan tersebut disebabkan mereka liberal dan tidak mahu terikat dengan mana-mana ajaran dan hukum-hakam agama masing-masing.

"Fahaman terbabit menganjurkan pengikutnya terutama umat Islam supaya membebaskan diri daripada kepercayaan, peraturan dan undang-undang Islam yang menjadi asas keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

"Pada masa sama, fahaman mereka menghalalkan pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran lain kononnya atas nama individu dan hak asasi manusia," katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu dibiarkan menular akan menyebabkan berlakunya keadaan apabila masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor