Pages

Thursday, December 20, 2012

Amanat Hadi Merosakkan Akidah


MUNGKIN sekali lagi Pas tidak akan memandang serius isu 'Amanat Haji Hadi' yang kembali diperkatakan selepas seorang bekas ahli seumur hidup, C.N Al-Afghani atau Zainon Ismail menghasilkan buku berjudul Kafirkah Aku? Apatah lagi mereka menganggap amanat itu adalah cerita lama kerana ia dilafazkan 31 tahun lalu.

Namun begitu satu perkara yang tidak harus dilupakan amanat tersebut bukan satu ucapan politik yang boleh dilupakan begitu sahaja, ia bukan sekadar berkaitan dengan usaha meraih sokongan dalam pilihan raya tetapi jauh daripada itu ia melibatkan soal isu agama dan akidah.

'Bencana' yang hadir akibat amanat itu, bukan soal bila ia dihasilkan tetapi apakah kesannya. Inilah persoalan yang seharusnya dipertimbangkan dengan serius oleh Pas jika benar mereka memperjuangkan Islam.

Ini memandangkan sehingga ke hari ini, sama ada Pas mahu mengakui atau tidak, kesan akibat amanat itu ia masih mewujudkan perpecahan yang cukup ketara dalam soal persaudaraan Islam melibatkan antara penyokong Pas dan UMNO.

Apatah lagi kita harus faham dalam amanat itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini merupakan Presiden Pas menyatakan, ''Saudara-saudari, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah."

Ini bermaksud, biar pun amanat itu dilafazkan 31 tahun lalu namun apa yang diperkatakan dalam amanat berkenaan masih relevan jika mengikut tafsiran penyokong-penyokong tegar Pas memandangkan sehingga ke hari ini, UMNO dan BN tidak pernah mengubah apa-apa dalam Perlembagaan negara.

Oleh itu persoalannya jika Perlembagaan tersebut masih kekal, apakah kepimpinan Pas begitu yakin bahawa tidak ada dalam kalangan pengikutnya tidak lagi berpegang kepada amanat tersebut yang antara lain turut menyatakan, ''perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam…"

Bukankah kerana pegangan inilah yang menjadi Pas boleh bertahan sehingga ke hari ini - ramai yang menyokong Pas kerana mereka beranggapan perjuangan dalam Pas adalah suci dan murni kerana ia demi menegakkan Islam.

Selain itu, bagaimana pula dengan kejadian perpecahan ummah akibat perbezaan politik yang menyaksikan di Terengganu masih wujud 11 masjid masih solat berasingan, masih ada kubur orang Islam daripada Pas dan UMNO dipisahkan serta masih berlaku perceraian akibat fahaman politik berbeza.

Malahan kalau pemimpin-pemimpin Pas menganggap isu amanat itu bukan isu baru dan sudah basi, kenapakah mereka sanggup membiarkan berlakunya majlis mendoakan kehancuran UMNO dan BN? Kenapakah masih terjadi ada khatib yang membaca khutbah menuduh kerajaan BN zalim dan mendoakan kehancuran parti tersebut?

Kita juga tidak harus meminggirkan fakta bahawa sehingga ke hari ini, masih berlaku tafsiran bahawa sembelihan orang UMNO haram untuk dimakan sehingga seperti mana diceritakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sebesen ayam sembelihan orang UMNO dibuang.

Oleh itu, dalam keterujaan Pas memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mereka tidak harus melihat isu amanat ini sengaja ditimbulkan menjelang pilihan raya. C.N Al-Afghani menulis buku itu dengan penuh ikhlas kerana kita percaya bukan beliau seorang sahaja masih dihantui oleh amanat tersebut tetapi juga masih terdapat ribuan lagi yang berpegang kepada amanat berkenaan.

Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak mempertikaikan bahawa Abdul Hadi sendiri mungkin sudah tidak berpegang kepada amanat tersebut tetapi beliau perlu bertanggungjawab untuk membuat pengisytiharan terbuka menarik semula amanat itu dan sekali gus meminta ahli-ahli Pas supaya tidak lagi memandang serong kepada pemimpin dan ahli UMNO sebagai seorang Islam.

Abdul Hadi harus ada keberanian dalam soal ini kerana isu 'Amanat Haji Hadi' adalah satu isu besar yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Bayangkanlah dalam tempoh berkenaan berapa ramai umat Islam yang berbeza fahaman politik kerana menyokong UMNO atau Pas berbalah sesama sendiri? Berapa ramai yang bercerai-berai? Berapa banyak nyawa yang terkorban kerana percaya perjuangan menentang kerajaan BN adalah jihad?

Justeru ulama-ulama dalam Pas perlu berjiwa besar untuk menasihatkan Abdul Hadi untuk memenuhi gesaan para alim ulama termasuk mufti yang menyatakan wajib bagi Presiden Pas itu menarik balik amanat berkenaan.

Fahamilah, kelahiran buku Kafirkah Aku? bukan bermotif politik apatah lagi mahu menghalang Pas mencapai impian ke Putrajaya, tetapi demi untuk menyelamatkan umat Islam daripada terus berpecah belah kerana 'aku penyokong Pas, kau penyokong UMNO.'

Ia kerana seperti mana kata, C.N Al-Afghani dalam buku itu, ''…memang Pas telah lama tinggalkan isu kafir mengkafir ini, masalahnya sekarang doktrin terhadap ahli masih kukuh terpahat di dada kami."

Doktrin? Inilah persoalan yang dibimbangi kerana ketaksuban kepada perjuangan Pas apatah lagi dengan tiada sebarang usaha menarik balik amanat itu ia memungkinkan sesetengah ahli Pas di peringkat akar umbi masih mempercayai bahawa UMNO adalah musuh yang perlu diperangi biar pun mereka adalah terdiri daripada umat Islam yang melafazkan kalimah syahadah yang sama.

Mungkin Pas bimbang jika Abdul Hadi membuat pengisytiharan menarik balik amanat itu ia akan menunjukkan sememangnya amanat tersebut salah tetapi bukan soal pertimbangan politik yang harus diberikan keutamaan tetapi soal akidah dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Tidak salah untuk Pas berusaha meraih undi umat Islam dengan terus menguar-uarkan bahawa mereka tetap akan menegakkan perjuangan Islam biar pun kita memahami penentangan kuat daripada sekutunya DAP, tetapi laksanakan dulu tanggungjawab sebagai pemimpin dan paling penting hamba Allah di alam fana ini dengan berusaha memperbetulkan sebarang kekhilafan yang selama ini menyebabkan selama berpuluh-puluh tahun pemimpin dan ahli-ahli UMNO dianggap oleh sesetengah penyokong Pas yang taksub bagaikan musuh kafir yang perlu diperangi habis-habisan.

Kita percaya Abdul Hadi sebagai seorang yang bertaraf ulama amat memahami yang mana harus diutamakan dan kita berdoa agar Allah memberi hidayah serta kekuatan kepada beliau untuk menyahut seruan C.N Al-Afghani iaitu, ''Datuk Seri harus tarik balik amanat tersebut dan isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak kafir di sisi Islam."

Abdul Hadi dan kepimpinan Pas perlu memahami bahawa dalam amalan demokrasi tidak salah berlumba-lumba untuk meraih sokongan rakyat tetapi biarlah ia dilakukan secara berhemah dan mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam, janganlah kerana ketaksuban dan keghairahan untuk merebut kuasa, perpaduan umat Islam menjadi pertaruhan!

Ia kerana jika umat Islam berpecah belah dan berbalah sesama sendiri apatah lagi kerana masih berpegang kepada sebuah amanat usang, percayalah pemimpin yang terlibat bukan sahaja perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat di dunia tetapi yang paling penting menjawab di hadapan Allah di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor